Toshiba Umum Pembangunan Televisyen 116-Inci Dengan Teknologi RGB Mini LED
Amy Maizuraa
TVS REGZA Corporation, anak syarikat milik Toshiba telah mengumumkan pembangunan televisyen terbesar mereka iaitu model 116-inci RGB Mini LED yang menggunakan teknologi paparan generasi baharu. Televisyen ini dijangka mula dijual secara komersial pada penghujung tahun 2025.

Model ini merupakan sebahagian daripada siri premium REGZA yang menekankan kualiti gambar serta inovasi hiburan rumah berprestasi tinggi. Selepas kejayaan pelancaran TV 100-inci pada 2023, REGZA kini memperkenalkan sistem lampu latar RGB Mini LED yang boleh mengawal LED merah, hijau dan biru secara berasingan. Teknologi ini turut mampu menghasilkan warna yang lebih terang, semula jadi dan mendalam sekali gus sesuai untuk skrin bersaiz besar.

Walaupun model 116-inci masih dalam pembangunan namun teknologi ini sebenarnya sudah digunakan dalam model Z770R yang kini berada di pasaran. Antara ciri menarik ialah enjin pemprosesan imej REGZA Engine ZRα yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI).
Ia boleh menganalisis video secara masa nyata, mengawal kecerahan dan warna mengikut zon serta mengurangkan kesan cahaya berlebihan untuk hasil paparan yang lebih semula jadi.

Teknologi ini turut menyokong AI Scene Picture Quality Pro yang boleh mengenal pasti objek bercahaya dan pantulan dengan lebih tepat. Warna yang dipaparkan juga lebih hidup dan disokong oleh pemprosesan warna sehingga 108-bit bagi memastikan peralihan warna yang lebih baik.
Model Z770R turut dilengkapi sistem pintar REGZA Intelligence yang merangkumi AI Picture, AI Sound, AI Pilot dan Gen AI. Semua ini berfungsi secara automatik untuk menyesuaikan kandungan dan keutamaan pengguna.
Hasilnya, paparan menjadi lebih tajam, warna kelihatan semula jadi dan audio lebih jelas untuk pengalaman tontonan lebih menyeronokkan.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.