Malaysia Oversight

Tolak kemasukan 229 pelawat asing

By MkiniBM in August 13, 2025 – Reading time 1 minute
Tolak kemasukan 229 pelawat asing


Seramai 229 pelawat asing dari pelbagai negara dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) KLIA dalam operasi bersepadu selama 24 jam.

AKPS memaklumkan operasi bermula 12 Ogos hingga 7.30 pagi tadi di Balai Ketibaan dan Perlepasan Antarabangsa Terminal 1 dan 2 KLIA, menyaksikan 764 pelawat asing diperiksa.

“Daripada jumlah tersebut, 229 orang didapati gagal mematuhi syarat kemasukan yang ditetapkan.

“Warganegara Bangladesh mencatatkan bilangan NTL tertinggi iaitu seramai 204 orang. Ia diikuti oleh warganegara India (14 orang), Sri Lanka, Pakistan, Indonesia masing-masing (tiga), dan Kemboja (dua),” kata agensi penguatkuasaan itu pada satu kenyataan.

Menurut AKPS, daripada jumlah warga Bangladesh itu, 66 orang dikesan tiba di KLIA 1 melalui tiga penerbangan dari Dhaka pada awal pagi.

Antara punca utama penolakan masuk ialah mengemukakan tempahan hotel palsu, tidak memiliki tiket penerbangan pulang, dan gagal membuktikan kemampuan kewangan mencukupi.

“Kesemua individu tersebut dipercayai berniat menyalahgunakan kemudahan kemasukan untuk tinggal dan bekerja secara tidak sah di negara ini,” katanya.

AKPS turut menggagalkan cubaan seorang lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 50-an untuk memasuki Malaysia pada 12 Ogos, hanya enam hari selepas dia diusir atas kesalahan sama pada 7 Ogos lalu.

“Individu tersebut telah dihantar pulang serta-merta dan diberi amaran keras.”

Agensi itu menegaskan kawalan di pintu masuk negara akan terus diperketat.

“Tindakan tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak, termasuk anggota yang bersengkongkol, dalam cubaan membawa masuk warga asing secara haram,” katanya.



Source link