Walaupun menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak, Perdana Menteri Anwar Ibrahim tetap mempertahankan jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur bulan depan.
Setiausaha akhbar kanan, Tunku Nashrul Abaidah, berkata Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengambil maklum pandangan sesetengah pihak, namun tindakan menolak kehadiran Trump ke acara Asean bukanlah jalan “penyelesaian”.
Nashrul turut menegaskan bahawa pendirian Malaysia yang “jelas, tegas, dan konsisten” mengenai Palestin tidak pernah berubah sejak dahulu, sambil menekankan bahawa Anwar sendiri merupakan “antara suara paling lantang di dunia” dalam mempertahankan Gaza, mengecam kekejaman Israel, serta mengetuai suara moral umat Islam di pentas antarabangsa.
“Pejabat Perdana Menteri mengambil maklum wujud pandangan daripada beberapa pihak, termasuk tokoh politik tanah air, yang menuntut jemputan kepada Trump ditarik balik atas dasar pandangan beliau terhadap isu Palestin.
“Namun, menolak kedatangan Trump ke Asean bukanlah jalan penyelesaian.
“Prinsip diplomasi menuntut kita menyuarakan kebenaran secara berdepan, bukan mengelak. Dengan cara ini, Malaysia bukan sahaja menzahirkan solidariti kepada Gaza, tetapi juga menunjukkan kebijaksanaan sebagai tuan rumah yang berani, tegas dalam prinsip, dan matang dalam diplomasi,” katanya dalam taklimat harian PMO hari ini.

Sabtu lalu, Anwar menegur pengkritik dengan menyatakan bahawa sidang kemuncak itu menyediakan platform diplomatik untuk terus mengangkat isu Palestin.
Pada 6 Sept lalu, gabungan 23 NGO mengadakan bantahan di Kuala Lumpur berhubung kunjungan Trump.
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, turut menggesa Anwar membatalkan jemputan tersebut, dengan menasihatkan kerajaan supaya mengambil pendirian tegas dan jelas menentang kekejaman Israel yang disokong oleh Amerika Syarikat.
Terdahulu hari ini, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, menyeru agar semua pihak matang dalam menyikapi bantahan terhadap kunjungan Trump, sambil menekankan bahawa al-Quran sendiri memberi panduan bagaimana berhadapan dengan pemimpin zalim.
Mengenai kontroversi jemputan kepada Trump, Saifuddin menjelaskan ia tidak boleh dilihat sebagai Malaysia menyokong pemimpin AS tersebut.
Sebaliknya, katanya, langkah itu mencerminkan tanggungjawab Malaysia sebagai pengerusi Asean untuk mewakili suara kolektif kesemua 10 negara anggota melalui Anwar.
Mengulangi sentimen sama, Nashrul berkata Malaysia mempunyai tanggungjawab membawa suara Asean agar sidang kemuncak itu tidak hanya tertumpu kepada isu geopolitik, sebaliknya kepada agenda bersama.
Ini, jelasnya, termasuk memperkukuh kerjasama ekonomi, menarik pelaburan strategik, memperluas perdagangan, serta mempercepat integrasi rantau ini sebagai kuasa ekonomi dunia.
“Asean mesti bersuara dengan satu nada, memanfaatkan peluang dengan semua rakan dialog – bukan sahaja Amerika Syarikat, tetapi juga China, Jepun, Korea, Australia, dan GCC (Majlis Kerjasama Teluk).
“Inilah kepimpinan yang Malaysia tawarkan – kepimpinan yang menegakkan prinsip keadilan sejagat, terus istiqamah membela Palestin, dan pada masa sama memikul tanggungjawab besar sebagai pengerusi ASEAN untuk membina rantau yang makmur, stabil, dan sejahtera,” tambahnya.
Dia menegaskan kerajaan akan memastikan Sidang Kemuncak Asean Ke-47 di Kuala Lumpur menjadi bukti bahawa Malaysia mampu memimpin dengan hikmah – lantang membela yang tertindas, cekal memperjuangkan kepentingan rakyat, dan bijaksana mengimbangi diplomasi global.






