Malaysia Oversight

TNB antara 10 syarikat paling banyak tunggakan saman had laju

By MkiniBM in October 17, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo



Tenaga Nasional Berhad (TNB) termasuk dalam senarai 10 syarikat dengan tunggakan saman had laju tertinggi bagi kategori kenderaan barangan.

Memetik data daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata senarai itu sebahagian daripada senarai name and shame kementeriannya, JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) untuk mengurangkan kemalangan melibatkan kenderaan berat.

Dalam jawapan Parlimen semalam, Loke menyatakan TNB berada dalam kedudukan keempat, dengan 57 notis aktif bagi kesalahan had laju kenderaan barangan setakat 8 Oktober lalu.

SPT Power Transport Services menjadi syarikat dengan tunggakan saman paling banyak, dengan 114 notis aktif, disusuli Tiong Soon Trading & Transport Sdn Bhd (88) and Visions Transport Enterprise Sdn Bhd (65).

Syarikat lain yang disenaraikan adalah E2S Logistics Sdn Bhd (56 notis aktif), Securiforce Sdn Bhd (53), Chan Soon Transport & Trading Sdn Bhd (47), GD Fit International (M) Sdn Bhd (46), Jimat Jaya Sdn Bhd (37) dan SBS Teguh Impian (M) Sdn Bhd (37).

Kata Loke lagi, usaha penguatkuasaan Kementerian Pengangkutan turut dibuat terhadap pengendali bas, dengan GJG Travel & Tours Sdn Bhd menjadi syarikat dengan saman tertunggak paling banyak, iaitu 271 notis aktif.

Ia disusuli dengan Cepat Ekspres Sdn Bhd (198) dan AC Interstate Coach (M) Sdn Bhd (185).

Loke berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin yang memintnya menyatakan nama 10 syarikat bas atau lori yang menerima jumlah saman had laju tertinggi sejak 25 Jun.

Dia menjelaskan selain dasar name and shame, langkah lain yang diambil oleh pihak berkuasa termasuk penguatkuasaan penggunaan peranti had laju serta pelaksanaan operasi khas sepanjang tahun dengan tumpuan tertentu, seperti integriti Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Kegiatan penguatkuasaan lain turut merangkumi audit terhadap syarikat pengangkutan berisiko tinggi, kenderaan yang terlebih muatan, serta pemandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol, selain penggantungan dan pembatalan permit kenderaan serta lesen pengendali bagi kesalahan serius.



Source link