
Kabel dasar laut boleh dilihat sebagai saraf tunjang rangkaian internet global yang menghubungkan negara dan benua dan ia adalah penting bahawa ia sentiasa dinaiktaraf dan hadir dengan teknologi baru untuk memastikan bahawa rangkaian maklumat tidak terputus diantara satu sama lain.
Terkini, Telekom Malaysia telah mengumumkan bahawa mereka akan menyertai Konsortium Kabel Dasar Laut baru yang dinamakan Candle untuk menyambungkan rangkaian negara-negara Asia Tenggara ke negara Jepun, yang merupakan salah satu hab rangkaian internet berskala global.
Candle merupakan sistem kabel dasar laut sepanjang 8,000 km dengan 24 pasang gentian
sepanjang 8000KM yang menghubungkan Jepun, Taiwan, Filipina, Indonesia, Malaysia dan Singapura dan dijadualkan beroperasi pada tahun 2028. Ia terdiri daripada gabungan syarikat-syarikat seperti Telekom Malaysia, Meta, SoftBank Corp., IPS Inc., PT XLSmart, Telecom Sejahtera Tbk, dan NEC Corporation.
Projek ini akan menyumbang kepada pengembangan infrastruktur dan menyediakan laluan tambahan yang selamat bagi memenuhi permintaan data yang semakin meningkat, didorong oleh teknologi 5G dan kecerdasan buatan.
Untuk rangkaian Malaysia, melihat kepada peta kabel yang diperlihatkan, ia akan bermula dari Tanjung Sedili, Johor sebelum bertemu dengan rangkaian utama Candle di perairan Singapura yang memperlihatkan sambungan bersama dari negara-negara Indonesia, Filipina, Taiwan dan Jepun.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Candle, Don Pang, berkata, “Candle merupakan satu kemajuan penting dalam memperkukuh infrastruktur digital rantau ini. Selaras dengan peningkatan keperluan terhadap sambungan yang kukuh dan berkelajuan tinggi, Candle akan menyediakan kepelbagaian rangkaian dan daya tahan yang lebih baik di sepanjang koridor penting ini, dengan memanfaatkan teknologi terkini.”
Amar Huzaimi Md Deris, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM berkata, “Penyertaan TM dalam projek sistem kabel dasar laut Candle membuktikan komitmen kami untuk membina infrastruktur digital yang teguh bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan digital serta inovasi berasaskan awan dan Kecerdasan Buatan (AI) di seluruh Asia. Ini mengukuhkan keupayaan kami untuk menyokong syarikat hyperscaler, perusahaan dan penyedia perkhidmatan global dalam memperluaskan capaian mereka di seluruh ASEAN, di samping memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab digital ASEAN.”






