Malaysia Oversight

‘Titik perubahan buat Sabah’ – Ahli politik, peguam sambut baik keputusan mahkamah

By MkiniBM in October 17, 2025 – Reading time 3 minute
malaysiakini logo


Bekas presiden Sabah Law Society (SLS), Roger Chin menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa persekutuan telah bertindak secara tidak sah ekoran gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil persekutuan yang diperoleh daripada negeri itu sebagai “satu titik perubahan”.

Chin berkata Mahkamah Tinggi telah mengembalikan hak perlembagaan negeri yang sekian lama dinafikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Mahkamah Tinggi telah menegakkan apa yang telah lama kami perjuangkan – hak perlembagaan kami terhadap 40 peratus hasil persekutuan.

“Kemenangan ini milik setiap rakyat Sabah yang tidak pernah berhenti percaya yang keadilan akhirnya akan tiba,” katanya di Kota Kinabalu hari ini.

Chin menyifatkan keputusan itu sebagai penghakiman bersejarah yang menegaskan bahawa geran khas 40 peratus Sabah ‘bukan keistimewaan untuk dirundingkan, tetapi hak perlembagaan yang sepatutnya diterima sejak 1963′.

“Ini ialah tahun-tahun yang hilang apabila janji yang dibuat sewaktu penubuhan Malaysia dilupakan. Hari ini, mahkamah telah memulihkan janji-janji itu dan menegakkan kembali kedaulatan undang-undang,” katanya lagi.

688bb59c582c15b8e9a0bcc2db8ebb9f
Roger Chin (kiri) bersama pasukan peguam SLS

Chin merupakan presiden SLS ketika dia memfailkan semakan kehakiman mengenai tuntutan hasil 40 peratus itu pada pertengahan 2022.

Menurutnya, keputusan itu membawa makna kepada rakyat Sabah, menjelaskan bahawa peruntukan 40 peratus itu bertujuan membiayai sekolah, hospital, jalan raya serta infrastruktur asas yang boleh memperbaiki kehidupan rakyat.

Dia turut mengiktiraf peranan negeri dalam memperjelas kedudukan perlembagaan Sabah, termasuk usaha mengumpul data dari 1964 hingga 1968.

“Keputusan mahkamah mengesahkan bahawa Perintah 1969 tidak memansuhkan atau mengubah formula asal.

“Mekanisme perlembagaan yang menjamin hak 40 peratus Sabah sentiasa kekal utuh,” katanya.

Chin menjelaskan bahawa mahkamah telah membatalkan sebahagian perintah semakan bagi 2022, 2023 dan 2025 yang mengecualikan hak Sabah dari 1974 hingga 2021, pada masa sama menegaskan peruntukan 40 peratus mulai 2022 kekal sah.

Susulan keputusan itu, katanya lagi. persekutuan dan kerajaan negeri perlu bermesyuarat dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan dalam masa 180 hari bagi mengira tunggakan hasil dari 1974 hingga 2021.

Chin berkata SLS akan menentang sebarang cubaan untuk merayu keputusan itu, namun dia berharap kerajaan persekutuan akan menghormati dan mematuhi dapatan mahkamah.

“Walaupun mereka ada hak untuk merayu, tindakan itu akan mencerminkan ketidaktulusan — terutama apabila kerajaan demi kerajaan sebelum ini berjanji untuk menunaikan MA63 namun masih gagal menyelesaikan isu 40 peratus ini,” katanya.

Pemimpin Sabah sambut baik keputusan

Ahli politik dan perundangan di Sabah menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi, menyifatkannya sebagai satu detik bersejarah dalam hubungan persekutuan dan negeri di Malaysia.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Jeffrey Kitingan berkata dia gembira dengan keputusan tersebut namun menegaskan  pelaksanaan peringkat seterusnya memerlukan kesabaran.

“Saya sangat gembira dengan keputusan ini, tetapi kita perlu menunggu sedikit — 90 hari untuk peringkat pertama dan lebih lama untuk yang seterusnya,” katanya selepas menghadiri prosiding di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

941c14a8d6d3d6a995368207a83c1c24
Yong Teck Lee

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Yong Teck Lee pula menyifatkan keputusan itu sebagai “hari yang penting untuk Sabah.”

“Hadiah besar untuk Sabah. Terima kasih kepada para peguam dan SLS,” katanya.

Peguam Besar Negeri Sabah, Brenndon Keith Soh, yang mewakili kerajaan negeri dalam prosiding itu, berkata keputusan tersebut adalah menyeluruh dan amat penting.

“Ia merupakan penghakiman yang berasaskan pertimbangan mendalam oleh Mahkamah Tinggi. Kami menghargai profesionalisme semua peguam yang membantu mahkamah mencapai keputusan ini. Ini merupakan kes perlembagaan penting bagi Sabah,” katanya.

Kenyataan rasmi daripada kerajaan negeri Sabah akan dikeluarkan dalam masa terdekat, katanya lagi.



Source link