Malaysia Oversight

Titah adendum: Najib kecewa perbicaraan terus tertangguh

By MkiniBM in April 28, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Bekas  perdana menteri Najib Abdul Razak kecewa dengan penangguhan pendengaran berhubung dakwaannya tentang kewujudan dokumen tambahan yang membenarkannya menghabiskan hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Perkara itu dimaklumkan ketua pasukan pembelaan Najib, Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

“Dia kecewa dalam erti kata bahawa ini akan melambatkan lagi proses mahkamah. Sebab ia dah setahun empat bulan.

“Kita pun dah tahu amat jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong yang ke-16 (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) iaitu Sultan Pahang telah pun menjelaskan memang ada adendum yang membolehkan najib menjalani hukuman penjara di rumah,” katanya kepada pemberita.

Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan Peguam Negara (AG) untuk merayu berkaitan kewujudan dokumen tambahan dalam kes tersebut.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Hasnah Mohammed Hashim dalam keputusan sebulat suara berkata persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh AG memenuhi syarat ambang untuk kebenaran diberikan mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

24590f63e9aae445a376261363d5b911
Muhammad Shafee Abdullah

Mahkamah Persekutuan kemudian menetapkan pendengaran rayuan Ag selama dua hari, bermula 1 Julai ini nanti.

Panel hakim yang lain adalah dua hakim Mahkamah Persekutuan, Zabariah Mohd Yusof dan Hanipah Farikullah.

AG memfailkan permohonan itu bagi merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini memutuskan agar kes tersebut dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar berdasarkan merit.

Sementara itu, Shafee berkata dia dan Najib masih tidak faham dengan tindakan berdolak-dalik dalam isu titah adendum.

“Kita juga tahu perdana menteri ( Ibrahim) sendiri dengan tegas sekali dalam dua ucapannya telah mengatakan bahawa adendum tambahan ada tetapi bukan di tangannya sekarang, tapi ada dalam tangan orang lain.

“Kalau ada adendum, saya dan anak guam saya tak faham kenapa ada dolak-dalik. Isunya ada atau tidak, sama ada ia sah atau tidak itu isu lain.

“Kenapa tak bagi adendum itu ke bicara (di mahkamah), kenapa sorok?” dakwanya lagi.

Najib sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah kerana menyalahgunakan RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Dia pada mulanya dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Lembaga Pengampunan kemudian mengurangkan hukuman penjara kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta.



Source link