Malaysia Oversight

Tindakan sita bas Singapura undang risiko gagalnya TMM 2026

By MkiniBM in June 7, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM) hari ini mempersoalkan tindakan Kementerian Pengangkutan Malaysia yang didakwa menyekat operasi bas dari Singapura di Semenanjung Malaysia, tindakan yang menurut mereka boleh memberi kesan besar kepada sektor pelancongan negara.

Pengerusi SGBM, R Thiagarajan berkata arahan yang dikeluarkan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyebabkan pengoperasian bas Singapura terganggu, sekali gus memberi kesan kepada kemasukan pelancong asing yang menjadikan Singapura sebagai pusat transit utama sebelum meneruskan perjalanan ke Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Sejak kebelakangan ini terdapat pelbagai isu berkaitan tindakan dari pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di bawah arahan Kementerian Pengangkutan bagi mengambil tindakan ke atas pengoperasian bas-bas dari Singapura di Semenanjung Malaysia.

“Tindakan yang diambil adalah seperti pembatalan lesen khas pengoperasian di Semenanjung Malaysia serta tindakan penyitaan bas.

“Persoalannya mengapakah isu pengoperasian pengangkutan awam bas dari kedua-dua negara yang pada amnya yang telah menjadi salah satu persetujuan dasar di antara kedua-dua negara menjadi isu,” katanya pada satu kenyataan media.

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Pengangkutan untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara ini.

Thiagarajan turut mendakwa tindakan yang diambil oleh agensi-agensi berkenaan ini tidak mengambil kira kesan terhadap dasar bersama yang telah dipersetujui antara Malaysia dan Singapura, khususnya melibatkan aspek pengangkutan awam.

Katanya semua bas berdaftar di Singapura kini diperiksa di pintu masuk negara seperti di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Iskandar serta Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor.

“Akibat perkara ini, sudah tentunya impak ke atas pelancongan dalam negara terutamanya Malaysia akan terjejas kerana kemasukan pelancong-pelancong asing dari Singapura yang memilih sebagai ‘TransitHub’ yang utama bagi menghubungkan mereka ke negara serantau Asean terutamanya Singapore-Malaysia-Thailand.

“Adakah pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia telah melupakan akan kempen Visit Malaysia (Tahun Melawat Malaysia TMM) 2026 yang telah dilancarkan? Di mana pengangkutan awam darat akan menjadi satu jaringan hubungan yang utama dalam menyokong kempen ini.

“Sekiranya, tindakan-tindakan yang diambil tanpa sebarang prejudis dan tanpa sebarang perbincangan yang teliti antara agensi-agensi dari kedua-dua negara akan menyebabkan kegagalan dalam perancangan kempen ‘Visit Malaysia 2026’,” katanya lagi.

Mengakhiri kenyataan itu, SGBM menyeru agar Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) segera mengadakan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan, khususnya wakil persatuan industri pengangkutan bas kedua-dua negara, bagi merangka penyelesaian menang-menang demi memastikan kejayaan kempen pelancongan negara.



Source link