Malaysia Oversight

Tindakan reman pelajar bukti kegagalan reformasi keadilan

By MkiniBM in July 31, 2025 – Reading time 2 minute
Tindakan reman pelajar bukti kegagalan reformasi keadilan


Tindakan menahan reman seorang pelajar tingkatan satu selama dua hari menunjukkan kegagalan negara dalam melaksanakan reformasi keadilan yang lebih bersifat pemulihan terhadap remaja, kata bekas Pesuruhjaya Suhakam, Dr James Nayagam.

Aktivis hak kanak-kanak itu berkata, insiden tersebut amat membimbangkan memandangkan negara jiran seperti Singapura sudah membuat kemajuan dalam pembaharuan sistem keadilan juvana.

2f587f14a8b6aa171020b1fbe1f55e90
James Nayagam

“Oleh itu, budak seperti ini menjadi mangsa kepada sistem keadilan yang kita ada.

“Bukannya memulihkannya, kita menghancurkannya – dan juga remaja lain sepertinya,” katanya kepada Malaysiakini.

Pelajar berusia 14 tahun itu – dari kelas peralihan – ditahan pada Isnin (28 Julai) selepas menumbuk seorang guru lelaki berusia 29 tahun, yang kemudiannya membuat laporan polis pada hari sama.

Klip video pergaduhan itu tular, dan susulan tangkapan tersebut, pelajar itu direman selama dua hari.

49aff01d7e9b5c3c391e7ec7ec89011a

Pagi tadi, dia mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan guru berkenaan di Mahkamah Majistret Kajang.

Lebih memudaratkan daripada membantu

Mengulas lanjut, James berkata remaja pelajar itu ialah mangsa keadaan dan bukan menjadi “penjenayah” dalam sekelip mata.

Katanya, melalui proses mahkamah seperti itu, pelajar berkenaan mungkin akan terpalit stigma rekod jenayah sepanjang hayatnya.

“Masalah di Malaysia ialah kita hanya ada satu sistem keadilan – budak ini dihadapkan ke mahkamah, dan ini yang berlaku.

“Dia dihukum, semua orang puas hati sebab dia dihukum. Tapi akhirnya, ini lebih memudaratkan daripada membantu,” katanya lagi.

99e99b2def0875999b3af772ad7fbc69
Shanker Sudaram

Pandangan itu turut disokong oleh peguam kebajikan kanak-kanak, Shanker Sudaram, yang memuji tindakan mahkamah mendapatkan laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Katanya, laporan itu penting bagi menilai latar belakang dan suasana keluarga pelajar tersebut sebelum hukuman dijatuhkan.

“Kita perlu seimbangkan antara pertanggungjawaban dan sokongan, atau kita sendiri akan tolak remaja bermasalah ke jurang sistem keadilan,” katanya kepada Malaysiakini.

Selain itu, Shanker turut menekankan bahawa isu ini lebih besar daripada soal disiplin semata-mata.

“Ia menyerlahkan keperluan mendesak untuk campur tangan awal dalam pembangunan emosi dan tingkah laku.

9ddbdcc2efad458e50f2d690b7259a2d

“Hukuman undang-undang mesti diikuti, polis perlu jalankan tugas, tetapi pemulihan sepatutnya jadi keutamaan utama untuk pesalah juvana,” tegasnya.

Kesahan undang-undang reman

Peguam Samantha Chong pula mengulas dari sudut kesahan undang-undang tindakan mereman remaja bawah umur.

“Secara amnya, kanak-kanak tidak sepatutnya direman dan wajar diberikan jaminan, kecuali dalam kesalahan serius.

“Tujuan reman adalah untuk membantu siasatan dan melihat sama ada wujud risiko saksi diganggu atau bukti dimusnahkan.

“Dalam kes ini, bukti sudah pun tular dalam talian,” jelasnya sambil mengingatkan bahawa setiap kes ada dua sisi cerita.

“Fakta bahawa guru itu menyebut ‘you hayun first’ sambil ketawa dan memegang kolar pelajar terbabit juga wajar diperhalusi.

“Konteks adalah penting dalam menilai niat dan keadaan sekeliling kes ini,” katanya.

73e3be2eeaac4b43c7dcfb5f96f12ca7
Samantha Chong

Dia turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan klip video tular tersebut kerana ia melanggar Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 yang melindungi privasi dan identiti kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding undang-undang.

Tambahnya, tindakan ‘doxing’ atau mendedahkan identiti pelajar termasuk nama sekolahnya di media sosial kini juga merupakan satu kesalahan jenayah.



Source link