Malaysia Oversight

Timbalan Presiden PBS pula terkait dakwaan rasuah Sabah

By MkiniBM in October 21, 2025 – Reading time 2 minute
Timbalan Presiden PBS pula terkait dakwaan rasuah Sabah


Sebuah video terkait dakwaan skandal rasuah Sabah muncul lagi. Kali ini menunjukkan ahli perniagaan Albert Tei membincangkan pemindahan wang berjumlah RM150,000 dengan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Jahid Jahim.

Video berdurasi satu minit itu – yang disiarkan oleh pembocor maklumat, Albert Tei, melalui saluran Telegram Edisi Siasat kelmarin – bermula dengan ahli perniagaan terbabit membincangkan projek perlombongan dengan Jahid.

Tei dilihat berbual dengan penyandang kerusi DUN Tamparuli itu mengenai pertemuan mereka yang terdahulu dan mereka dikatakan bercakap tentang projek cari gali emas dan tembaga.

Dia juga menyentuh tentang seseorang yang bernama Andendah dan didakwa sebagai proksi Jahid dan memegang 15 peratus bahagian ahli politik terbabit.

7bc064741d368d25040bac4b398392d2
Albert Tei

“Ya, jalan tidak?” tanya lelaki yang didakwa sebagai Jahid itu.

Tei kemudian menjawab: “Mula-mula jalan, tapi sekarang ni banyak masalah, forestry (Jabatan Perhutanan Sabah), saya rasa Datuk (Jahid) pun dengar dengar baru-baru ini mining (pelombongan) kan banyak isu. Jadi apabila saya terima maklumat macam ni, saya mau sampaikan bah, sebab Datuk – kita business partner, bah.. kan?”

Jahid kemudian dilihat mengangguk dan membenarkan kata-kata Tei.

Tei: Walaupun itu Adendah, apa nama perempuan tu? Adenda, adenan? Proksi, proksi Datuk tu nama apa?

Jahid: Andedah.

Tei: Nama dia pelik Datuk, ah.

Jahid: Nama perempuan bah.

Tei: Adendah… dulu saya ada janji Datuk bah, mau bagi Datuk itu… berapa ratus ribu, kan?

Jahid: Ya.

Tei: Saya… sebelum Datuk sakit, saya hanta sempat bagi RM150,000 saja. Saya sempat bagi Datuk. Datuk ingat ah dulu?

Jahid: Hmm. Saya pun ingat-ingat tidaklah. Tapi tidak apa apa, saya tidak berapa ingat tapi tidak apa.

Malaysiakini sudah menghubungi Jahid untuk mendapatkan maklum balas ahli politik terbabit terhadap video yang didedahkan itu.

Tetap bersama perjuangan PBS

Dalam video sama Jahid dilihat memakai baju berwarna biru teal-turquoise dengan rekaan batik abstrak. Ia dipercayai sama dengan tangkap layar video yang didedahkan kepada Malaysiakini pada akhir Jun lalu.

Ia merupakan kali pertama dakwaan mengenai sogokan bernilai RM150,000 mula muncul. Ketika itu Jahid menafikan wujud sebarang salah laku.

Dalam penafiannya, Jahid menegaskan dia tidak terlibat dalam sebarang skandal perlombongan seperti yang didakwa, selain tidak pernah menerima sebarang dana berkaitan meluluskan atau mengeluarkan lesen pelombongan di Sabah.

Hal itu kerana, katanya, portfolio yang disandang tidak terlibat dalam prosedur memproses lesen berkaitan.

Minggu lalu Edisi Siasat turut mengeluarkan video yang menunjukkan Tei membincangkan dakwaan rasuah RM550,000 dengan pemangku Presiden PBS Joachim Gunsalam.

cb7315e4b63b3a2b4d8448efff65b870
Joachim Gunsalam

Joachim menafikan sebarang salah laku dan mendakwa wang terbabit adalah derma politik.

Sementara itu, Ketua Penerangan PBS, Joniston Bangkuai, menolak video berkenaan dan menganggap dakwaan rasuah terhadap Jahid serta Joachim sebagai bermotifkan politik.

“Rakan seperjuangan kami (Joachim dan Jahid) telah menjelaskan perkara itu, dan saya percaya kepimpinan di semua peringkat, ahli dan penyokong kami tetap bersama perjuangan PBS.

“Kami menganggap ini (dakwaan rasuah) bermotifkan politik bertujuan melemahkan parti, dan kami tidak boleh terganggu,” kata Joniston dipetik oleh jurucakap Sabah Media semalam.

[Baca berita asal]



Source link