TikTok hari ini mengumumkan mereka menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melindungi integriti platformnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Menurut kenyataan TikTok, kedua-dua pihak akan bekerjasama melindungi pengguna daripada maklumat yang palsu dan tidak tepat serta menyediakan maklumat sahih lagi boleh dipercayai melalui panduan carian dalam aplikasi yang menampilkan sumber rasmi.
TikTok juga memberitahu mereka akan bekerjasama rapat dengan SPR dan penyemak fakta untuk memudahkan pencarian maklumat tepat tentang pengundian dan pilihan raya.
“Teknologi penyederhanaan lanjutan dan ribuan profesional keselamatan akan membantu menghubungkan pengguna dengan maklumat berwibawa sambil mengalih keluar kandungan berbahaya daripada platform.
“TikTok juga akan mengaktifkan panduan carian dalam aplikasinya apabila pengguna mencari kandungan berkaitan pilihan raya.
“Mengklik panduan carian membuka halaman terperinci yang mengingatkan pengguna tentang garis panduan komuniti kami dan mengubah hala mereka ke laman web rasmi SPR,” katanya.
Platform itu juga menjalin kerjasama dengan pakar sebagai sebahagian daripada kerjasama berterusan mereka dengan kerajaan, organisasi masyarakat sivil, dan pemantau pilihan raya – termasuk NGO seperti Bersih – untuk memastikan dasar pilihan raya TikTok terus berkembang sebagai tindak balas kepada ancaman dan cabaran yang semakin kompleks.
Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia Firdaus Fadzil berkata pilihan raya ialah detik penting yang mencetuskan perbualan aktif dalam kalangan komuniti.
Kawalan terhadap iklan
Justeru, katanya TikTok komited untuk melindungi keselamatan pengguna dan integriti platform sepanjang proses pilhan raya berlangsung.
“Usaha ini dilaksanakan melalui penguatkuasaan dasar yang menyeluruh bagi mengekang penyebaran maklumat yang salah, menyediakan panduan carian dalam aplikasi, melarang iklan dan derma politik, mempromosikan maklumat rasmi daripada sumber yang dipercayai, serta menjalin kerjasama dengan pakar bagi menilai dan menambah baik pendekatan kami,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi SPR Ramlan Harun berkata pihaknya sentiasa komited untuk memberikan maklumat yang tepat, cekap dan telus semasa proses pengundian berlangsung.
“SPR berusaha memastikan tiada unsur yang boleh menimbulkan persepsi negatif, keraguan atau ketidakpercayaan merentas platform media sosial yang dikongsikan.
“Bekerjasama dengan TikTok adalah antara langkah penting ke arah memastikan pengundi mempunyai akses kepada maklumat sahih dan tepat pada masanya,” katanya.
Ramlan berkata dengan perkongsian tersebut SPR mengulangi iltizam untuk mempromosikan pendidikan pengundi dan memperkasakan penglibatan serta pemahaman masyarakat untuk mengambil bahagian dalam proses pilihan raya dengan yakin dan aktif.
Sepanjang tempoh dari suku pertama 2024 hingga suku kedua 2025 Tiktok menurunkan lebih 450,000 video yang melanggar dasar integriti dan ketulenan di Malaysia.
Dasar itu merangkumi tindakan terhadap maklumat salah, penglibatan palsu, serta pelanggaran terhadap integriti sivik dan pilihan raya, dengan lebih daripada 99 peratus kandungan berkenaan diturunkan secara proaktif.
Selain itu, TikTok melarang iklan politik dan akaun milik ahli politik, kerajaan atau parti politik daripada menjana aktiviti terkait keuntungan kewangan.
Calon, parti politik dan mana-mana pengiklan lain tetap dilarang daripada mempromosikan kandungan berkaitan pilihan raya melalui iklan.
“Satu-satunya pengecualian ialah untuk entiti rasmi yang mengawasi pilihan raya menyiarkan iklan terhad kepada maklumat penting pengundi seperti cara mengundi, pendaftaran pengundi atau butiran penyertaan.
“Pengguna digalakkan untuk melaporkan maklumat yang mengelirukan melalui pelaporan dalam aplikasi TikTok bagi membolehkan tindakan pantas terhadap kandungan yang melanggar dasar platform,” kata TikTok.
– Bernama






