KUANTAN: Tiga lelaki warga Bangladesh maut manakala dua lagi rakan senegara mereka cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki terbabas di Kilometer 200.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) hala barat, malam tadi.
Kemalangan kira-kira pukul 7.30 malam itu melibatkan sebuah Toyota Avanza yang dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Kuala Lumpur.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, siasata mendapati kenderaan itu hilang kawalan ketika melalui laluan lurus sebelum terbabas ke kiri jalan.
“Tiga lelaki disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas perubatan, manakala dua lagi mangsa cedera dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Md. Sabber Hasan, 30, yang juga pemandu; Md. Jahid Hasan, 21; dan Abdullah, 24. Semua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HTAA untuk bedah siasat.
“Dua mangsa yang cedera ialah Md. Habib Bissas, 45, yang mengalami luka di kepala dan Maniram Chandra Bas, 40, yang cedera di anggota badan. Kedua-dua mereka dirawat di Zon Hijau HTAA,” katanya.
Menurut Mohd. Adli, semakan mendapati pemandu tidak memiliki lesen memandu yang sah dan cukai jalan kenderaan itu telah tamat tempoh sejak Mei lalu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya,” katanya.
Menurut beliau, siasatan lanjut termasuk pemeriksaan teknikal ke atas kenderaan oleh pihak PUSPAKOM sedang dijalankan, selain usaha mengesan saksi kejadian dan majikan kepada kesemua mangsa.
“Polis turut menasihati pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, khususnya pada waktu malam di lebuh raya,” katanya. – UTUSAN