KANGAR: Hari terakhir Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) kali ke-65 di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini menyaksikan tiga lagi rekod lebur menerusi acara 4×400 meter.
Bagi acara 4×400 meter perempuan bawah 15 tahun, Majlis Sukan Sekolah (MSS) Kuala Lumpur mempamerkan prestasi cemerlang apabila mencipta rekod baharu kejohanan dengan meraih catatan masa empat minit 0.280 saat.
Rekod dicipta oleh Nurliyana Amani Wan Muhammad Azahar, Tee Tze Xuan, Nasyibah Suhaimi dan Farisya Amani Mohd Yusrizal itu sekali gus memadamkan catatan masa dipegang oleh MSS Terengganu yang diraih pada tahun 2023 dengan masa empat minit 0.355 saat.
Selain itu, acara 4×400 meter lelaki bawah 15 tahun turut menyaksikan rekod baharu dicipta menerusi atlet MSS Sabah iaitu Mohamad Shafiq Asri Abdullah, Muhammad Azrizam Haizal Jolison, Muhammad Nurmansyah dan Deaxter Pius dengan catatan masa tiga minit 22.34 saat.
Pencapaian kuartet Sabah itu sekali gus memadamkan rekod kejohanan dicatatkan pada tahun lalu iaitu tiga minit 25.42 saat.
Kuartet dari Terengganu turut tidak ketinggalan mencipta rekod baharu acara 4×400 meter perempuan bawah 18 tahun dengan mencatat masa tiga minit 55.47 saat.
Kuartet Terengganu yang diwakili oleh Nor Aliya Najihah Muda, Nurin Aira Rusdi, Nur Farisha Ardeana Ardy Abdullah dan Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira itu memadam rekod 2014 iaitu tiga minit 57.07 saat.
Sementara itu, bagi acara baharu 4×400 campuran dimenangi kuartet dari Johor dengan cacatan masa tiga minit 38.13 saat.

Secara keseluruhannya, sebanyak 26 rekod baharu kejohanan dicipta sepanjang lima hari penganjuran MSSM tersebut.
Antara acara yang berjaya memecahkan rekod kejohanan adalah seperti 200 meter lelaki bawah 12, 80 meter lari berpagar lelaki bawah 12, 400 meter meter lelaki bawah 15, 200 meter lari berpagar lelaki bawah 15 dan lempar cakera lelaki bawah 15 dan beberapa lagi.-UTUSAN