Malaysia Oversight

Tiga perseorangan wanita Malaysia layak ke suku akhir

By Utusan in January 29, 2026 – Reading time 2 minute
Tiga perseorangan wanita Malaysia layak ke suku akhir


PETALING JAYA: Tiga perseorangan wanita negara, K. Letshanaa, Wong Ling Ching dan Goh Jin Wei menempah slot ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Thailand Masters di Bangkok, Thailand, hari ini.

Pemain No. 38 dunia, K. Letshanaa meneruskan rentak konsistennya apabila membenam wakil India, Shriyanshi Valishetty 21-17, 20-22, 21-19 dalam masa 1 jam 10 minit pada pusingan kedua.

Kemenangan tersebut meletakkan Letshanaa kini mendahului rekod pertemuan dengan Valishetty 2-1 (termasuk kejohanan Cabaran Antarabangsa).

Anak jati itu yang kini menggalas tanggungjawab sebagai perseorangan wanita No. 1 Malaysia akan bertemu rakan senegara, Goh Jin Wei di suku akhir, esok.

Jin Wei yang merupakan bekas juara remaja dunia dan pernah bergelar pemain No. 1 Malaysia melekar kejutan ke atas pemain ke-37 dunia, Han Qian Xi dari 12-21, 21-10, 21-16 dalam masa 53 minit.

Kejayaan pemain ke-63 dunia, Jin Wei menewaskan Quan Xi merupakan kemenangan sulungnya ke atas pemain tersebut.

Seorang lagi perseorangan wanita Malaysia, Wong Ling Ching pula menundukkan pemain Denmark, Julie Dawall Jakobsen 21-18, 21-11
dalam masa 34 minit.

Pada suku akhir, Ling Ching yang menghuni ranking ke-43 dunia akan bertemu Isharani Baruah dari India.

Sementara itu, dalam aksi beregu lelaki, gandingan ke-28 dunia, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong mengalahkan Lai Po Yu-Tsai Fu Chen dari Taiwan 21-16, 22-20 dalam masa 31 minit

Kemenangan tersebut meletakkan beregu profesional Malaysia itu mendahului selesa ke atas Po Yu-Fu Chen 3-0.

Beregu , Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi menanti Azriyn-Wee Kiong di peringkat lapan terbaik, esok. – UTUSAN





Source link