PETALING JAYA: Tindakan penganjur Anugerah Melodi Terhangat (AMT 2025) meletakkan selebriti, Bella Astillah sebagai penyampai hadiah kategori yang dimenangi Sophia Albarakbah mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.
Ramai peminat tidak berpuas hati dan menyifatkan tindakan penganjur tidak sensitif memandangkan kedua-dua selebriti itu mempunyai sejarah hitam.
“Apa yang penganjur lakukan malam tadi kejam. Kalian letak Bella di posisi yang tidak patut dia hadapi. Kenapa dia perlu beri trofi kepada orang yang sudah berikan trauma dalam hidupnya? Ia bukan sahaja tidak sensitif, malah sebuah eksploitasi,” tulis satu komen.
“Tidak cerdik ya tindakan penganjur suruh Bella serahkan trofi kepada penyondol yang sudah hancurkan rumah tangga. Tidak ada hati perutkan semata-mata dapatkan publisiti?,” kata komen yang lain.
“Kasihan Bella nampak menggigil, bergetar suara dia. Sangat tidak sensitif penganjur,’ kata seorang pengguna media sosial.
Ketika majlis penyampaian hadiah untuk trofi kategori Selebriti Feminin Terhangat malam tadi, suasana menjadi sedikit kekok apabila Bella dilihat serba tidak kena selain mengatakan ‘sangat mengenali’ Sophia.
Hubungan dingin antara Sophia dan Bella pernah menjadi perhatian sekitar 2023 apabila Sophia didakwa menjadi orang ketiga yang menggugat rumah tangga Bella bersama suaminya ketika itu, penyanyi Aliff Aziz.
Bella sebelum ini pernah memuat naik tangkap layar perbualan yang memaparkan aktres berkenaan memohon maaf dan menyatakan hasrat memperbetulkan keadaan berhubung dakwaan tersebut.
Untuk rekod, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 2016 namun pasangan itu disahkan bercerai talak satu buat kali kedua pada 13 Jun 2024.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Ayden Adrian dan Ara Adreanna. -UTUSAN