KUALA LUMPUR: Pelakon, Sophia Albarakbah, tidak merasakan pemilihan dirinya dalam filem Abu Si Raksasa sebagai pelaris untuk menjual naskhah itu di panggung.
Sophia atau Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 32, beranggapan tawaran itu diberikan kepadanya melihat kepada potensi pelakon itu yang dekat dengan golongan kanak-kanak.
“Mungkin target penonton saya adalah kanak-kanak melihat kepada teknik Imej Janaan Komputer (CGI) yang sangat kartun. Lagipula sekarang kita mahu menghampiri cuti sekolah.
“Cerita ini pula tentang haiwan peliharaan, jadi lebih dekat dengan kanak-kanak. Saya tak rasa filem ini sekadar mahu jual saya sahaja,” katanya.
Sophia ditemui Utusan Malaysia semasa filem Abu Si Raksasa, di sini, baru-baru ini.
Mengulas mengenai teaser filem itu yang mendapat kecaman di media sosial, Sophia mengakui kualiti teknikal filem itu memang tidak mencapai tahap filem Hollywood.
Bagaimanapun, dia optimis suatu hari nanti ada filem Malaysia bergenre sains fiksyen boleh memenuhi kepuasan penonton.
“Saya akui CGI dia tidaklah setaraf filem-filem Hollywood, mungkin satu hari kita akan sampai tahap itu.
“Mungkin ini juga panggilan buat mereka yang berbakat untuk bekerjasama dengan produksi mana-mana menghasilkan filem sains fiksyen yang belum cukup meriah di Malaysia,” katanya.
Terdahulu, teaser filem Abu Si Raksasa yang dimuat naik menerusi TikTok menerima kecaman daripada warganet yang mengkritik teknik CGI yang digunakan dalam filem itu.
Malah, ada juga yang berpendapat filem itu tidak wajar ditayangkan di pawagam.
Filem tersebut mengisahkan seekor cicak salamander belaan Zaara diberi nama Abu yang bermutasi disebabkan pencemaran bahan kimia daripada pencuci jamban berjenama ROXCCID di sebuah empangan dan bakal ditayangkan bermula 11 September. -UTUSAN