TAIPING: Pesawah di Kerian yang terjejas akibat kemarau tidak perlu menunggu pengisytiharan bencana untuk memohon tuntutan pampasan tanaman padi kerana proses bayaran akan dilakukan secara automatik selepas laporan lengkap diterima.
Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman berkata, berdasarkan prosedur semasa, tiga kategori bencana iaitu banjir, kemarau dan ribut sudah ditetapkan layak menerima bantuan tanpa perlu melalui proses pengisytiharan rasmi.
“Pesawah hanya perlu membuat laporan polis, mengambil gambar keadaan sawah ketika terjejas dan menyerahkannya kepada pegawai Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) atau Jabatan Pertanian berdekatan.
“Laporan perlu dibuat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh bencana berlaku. Jika lewat, kita tidak dapat memproses tuntutan kerana bantuan ini berbentuk bayaran tunai,” katanya kepada pemberita pada Karvinal Agro di sini hari ini.
Menurut beliau, pegawai jabatan bersama Pengarah IADA Kerian telah diarahkan sejak tiga minggu lalu untuk turun padang berjumpa pesawah bagi mendapatkan bukti awal kerosakan padi yang dialami pesawah akibat kemarau.
Jelasnya, kadar bantuan yang ditetapkan adalah RM860 bagi tanaman padi berusia 70 hari ke bawah dan RM1,800 bagi tanaman berusia melebihi 70 hari, untuk setiap hektar yang terjejas.
Beliau meminta pesawah memilih salah satu saluran tuntutan sama ada melalui skim bantuan bencana tanaman padi atau insurans padi Agrobank bagi mengelakkan tuntutan berganda.
“Insurans padi ini percuma dan jika pesawah sudah membuat tuntutan melalui Agrobank, mereka tidak boleh memohon skim bantuan bencana jabatan,” katanya.
Mengenai cadangan menyusun semula jadual penanaman padi bagi mengelakkan risiko kerosakan akibat banjir dan kemarau, Norsiyenti berkata, perkara itu sudah dilaksanakan sejak dua tahun lalu di kawasan Kerian.
“Kita pernah ubah jadual penanaman bagi mengelakkan kawasan yang kerap banjir terjejas. Walaupun ada petani minta dikembalikan jadual asal, kita kekalkan perubahan tersebut demi mengurangkan kerugian,” katanya. – UTUSAN