Malaysia Oversight

Tidak bersuara bukanlah bermaksud tidak sokong – Aaron Aziz

By Utusan in September 20, 2025 – Reading time 2 minute
Tidak bersuara bukanlah bermaksud tidak sokong - Aaron Aziz


KUALA LUMPUR: “Kita tidak boleh paksa orang bersuara untuk sesuatu isu hanya sebab diminta. Tidak bersuara tidak semestinya mereka tidak sokong.”

Demikian pendapat pelakon, Datuk Aaron Aziz mengenai tindakan sesetengah pihak yang memaksa selebriti untuk bersuara memperjuangkan nasib Gaza dalam akaun media sosial.

Kata Aaron atau Aaron Mustapha Aziz, 49, ada sahaja selebriti yang menunjukkan solidariti terhadap nasib rakyat Palestin secara senyap.

menegaskan diam tidak bermakna seseorang itu tidak menyokong perjuangan rakyat Palestin apabila ramai memilih untuk menyalurkan bantuan secara senyap.

“Ada saja yang saya kenal walaupun diam, tapi mereka menderma secara senyap. Lebih baik begitu daripada sekadar berkongsi semula setiap perkongsian tetapi tiada tindakan.

“Doa, usaha atau hubungi pertubuhan bukan (NGO) sahih untuk hulur bantuan itu lebih penting,” katanya.

Aaron berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran Muaz Exclusive Brand , pada Jumaat.

Dalam masa sama, pelakon filem The Experts itu turut meluahkan rasa kurang senang dengan sikap segelintir pihak yang hanya giat bersuara ketika sesebuah isu itu hangat diperkatakan.

“Banyak lagi isu di Malaysia yang boleh bersuara contohnya kes penderaan, buli atau kesihatan mental. Kenapa tidak bersuara?

“Kalau mahu bela, bela semua orang. Jangan hanya kerana Gaza dapat naikkan nama, dapat tumpuan dan pujian, baru sibuk mahu jadi aktivis. Itu hipokrit,” jelasnya.

Tambah Aaron, dia juga tidak bersetuju dengan pihak yang menunggang isu semasa terutamanya kes arwah Zara Qairina untuk kepentingan peribadi.

“Lagi satu, saya tidak suka orang ‘tunggang’ sesuatu isu contohnya kes arwah Zara. Ada yang jual baju-T, buat kenyataan dan tiba-tiba jadi aktivis lakukan siaran langsung.

“Pada saya itu hipokrit, benda dah tular baru sibuk. Dapat naikkan nama, dapat tumpuan, pengikut baharu dan pujian daripada orang,” luahnya.

Sebelum ini, beberapa nama selebriti popular telah dipetik untuk melontarkan sokongan terhadap Palestin terutama misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini berlayar ke Gaza bagi menyampaikan bantuan.

Antara selebriti yang turut terkena tempias tersebut ialah termasuk Neelofa, Fasha Sandha, Hun Haqeem dan Daiyan Trisha.

Dalam perkembangan lain, Aaron kini dilantik sebagai duta jenama Muaz Exclusive bersama pelakon Siti Saleha sempena koleksi terbaharu mereka yang sudah mula dijual hari ini.





Source link