Malaysia Oversight

Tidak beraksi di Eropah beri kelebihan buat MU

By MkiniBM in May 28, 2025 – Reading time 2 minute
Tidak beraksi di Eropah beri kelebihan buat MU


Pengendali Manchester United (MU), Ruben Amorim, melihat ketiadaan kelab itu dalam saingan di pentas Eropah musim depan sebagai satu kelebihan dalam usaha mereka membina semula pasukan yang lebih mantap bagi menghadapi kempen akan datang.

Jurulatih berusia 40 tahun dari Portugal itu berkata kegagalan layak ke kejohanan Eropah membuka ruang untuk MU melakukan persiapan lebih rapi bagi menghadapi musim baru.

“Tiada aksi Liga Juara-Juara mungkin memberi kelebihan buat kami untuk beraksi dengan lebih baik dan merancang setiap perlawanan dengan teliti. Kami perlu membina teras kukuh bagi masa depan.

“Jadi saya lihat ia sesuatu yang baik untuk kami manfaatkan,” katanya pada sidang media praperlawanan Piala Cabaran Maybank antara MU dan Asean All-Stars, di Kuala Lumpur hari ini.

MU gagal melayakkan diri ke mana-mana kejohanan Eropah musim depan selepas menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sekadar di tangga ke-15 daripada 20 pasukan, dengan hanya mengutip 42 mata.

Ketika ditanya mengenai sasaran musim depan, Amorim enggan mendedahkannya secara terperinci.

“Saya tidak akan kongsikan sekarang. Yang penting, kami perlu menang perlawanan pertama dahulu. Selebihnya kita lihat kemudian.

“Banyak kerja perlu dilakukan sepanjang musim panas ini dan kami perlu bersedia.

“Peminat pasti menjangkakan sesuatu yang besar daripada MU, tetapi buat masa ini saya tidak mahu terlalu memikirkan soal sasaran besar,” katanya.

Dalam pada itu, Amorim turut menyatakan keterbukaan MU untuk mengambil pemain dari mana-mana rantau termasuk Asia Tenggara, asalkan pemain berkenaan mampu memenuhi piawaian kelab.

“Kami mahukan pemain terbaik dunia. Jika saya lihat ada pemain skuad Asean All-Stars yang berkualiti, dia mungkin tersenarai dalam radar kami. Asal sahaja anda mampu beraksi pada tahap tertinggi, anda ada ruang di MU,” katanya.

Pertembungan di antara MU dan Asean All-Stars akan berlangsung malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Untuk rekod, kali terakhir MU beraksi di Malaysia ialah pada siri jelajah pramusim 2009. Ketika itu kelab tersebut menewaskan Malaysia XI sebanyak dua kali dengan keputusan 3-2 dan 2-0.

Selepas aksi di Kuala Lumpur, skuad Red Devils itu – yang bergelut sepanjang musim ini – turut dijadualkan bertemu skuad kebangsaan Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 30 Mei ini.

Bernama



Source link