MUKTAMAR PAS | Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin hari ini menyokong pendirian sayap pemudanya yang mahu kepimpinan parti itu menerajui PN.
Bercakap kepada wartawan, Hashim bersetuju dengan pandangan bahawa sudah tiba masanya PAS memimpin gabungan berkenaan dan seterusnya negara.
“Saya pernah suarakan hasrat itu daripada tahun-tahun yang lalu, bahawa dalam Perikatan Nasional ini, 1 keputusan yang melibatkan dasar perlu dibuat selepas kita berunding.
“Apabila pada ketika itu, ada suara-suara yang merasakan mereka umumkan apa saja, jadi saya rasa saya bukan ada apa-apa kepentingan, hanya untuk parti. Maka saya suarakanlah, tak patut buat gitu, rundinglah dulu.
“Tapi makin hari dia makin berlaku sebaliknya. Jadi secara peribadi, keputusan yang dibuat oleh pemuda, saya setujulah itu. Dan kita harap benda ni akan membantu lagi untuk kemenangan kita dalam pilihan raya akan datang,” katanya pada sidang media di Maahad Darul Hadis, Alor Setar.
Hashim hadir merasmikan Muktamar Ulama PAS yang dihadiri kira-kira 600 perwakilan hari ini.
Menurut Hashim, PAS sudah berada di hadapan dalam pelbagai aspek, termasuk kejayaan menguasai empat negeri serta jentera pilihan raya yang tersusun.
Semalam, Muktamar Pemuda PAS sebulat suara meluluskan usul supaya kepimpinan parti mengambil alih teraju PN dan memimpin negara.
Ketetapan itu dibuat ketika wujud pertikaian antara PAS dan Bersatu mengenai calon perdana menteri PN, selepas Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu minggu lalu menamakan presidennya, Muhyiddin Yassin.