GAZA: Sejak gencatan senjata antara Hamas dan Israel berkuat kuasa pada 10 Oktober, pihak berkuasa tempatan di Gaza, dibantu oleh negara serantau dan agensi antarabangsa giat membersihkan runtuhan dan membuka semula jalan utama yang kritikal di seluruh wilayah tersebut.
Majlis perbandaran di Gaza menggunakan sumber terhad untuk membersihkan jalan dan mendirikan tempat perlindungan sementara bagi ribuan keluarga pelarian, selepas dua tahun serangan Israel yang memusnahkan sebahagian besar infrastruktur Gaza.
Jurucakap Majlis Perbandaran Gaza, Asem al-Nabih berkata, tiada satu jalan, kejiranan, atau lorong di Gaza yang tidak musnah sebahagiannya atau sepenuhnya akibat mesin perang Israel.
Katanya, konflik itu meninggalkan antara 55 hingga 70 juta tan runtuhan, dan hampir 90 peratus infrastruktur Gaza termasuk jalan raya, sistem air, pembetungan dan elektrik yang rosak teruk atau musnah.
“Sejak hari pertama gencatan senjata, kami mula menggerakkan jentolak dan peralatan terhad untuk membersihkan runtuhan dan membuka jalan utama. Kebanyakan jentera kami rosak atau musnah semasa perang, namun kami berusaha sebaik mungkin,” katanya.
Hosni Mohana, pegawai hubungan awam majlis, berkata operasi ini bukan sahaja untuk memulihkan laluan pengangkutan, tetapi juga menyediakan tapak kem sementara untuk menempatkan penduduk terpaksa berpindah sebelum musim sejuk tiba.
“Kami bekerja dalam keadaan amat sukar kerana kekurangan jentera, bahan bakar, peralatan dan tenaga kerja.
“Bahkan apabila peralatan ada, kekurangan bahan bakar untuk mengoperasikannya tetap menjadi halangan besar,” katanya.
Beliau menegaskan Gaza memerlukan “kerjasama luas daripada negara Arab dan antarabangsa untuk membekalkan jentera berat, bahan bakar, tenaga kerja dan bantuan kewangan bagi mempercepatkan usaha pembinaan semula.”
Beberapa rakan antarabangsa dan serantau telah menyertai usaha pembinaan semula ini.
Jurucakap Jawatankuasa Mesir, Mohammed Mansour berkata, mereka fokus kepada pembersihan runtuhan di kawasan utara yang paling teruk terjejas.
“Kawasan yang dibersihkan akan digunakan untuk mendirikan kem bagi keluarga pelarian yang kehilangan rumah.
“Kami juga menggali telaga, membuka semula kilang roti, dan membekalkan air ke kawasan terjejas,” katanya.
Pasukan lapangan jawatankuasa itu bekerjasama rapat dengan ibu pejabat mereka di Kaherah dan Bulan Sabit Merah Mesir untuk memastikan penghantaran bantuan berjalan lancar.
Abdullah Hamada, pekerja Palestin bersama jawatankuasa itu, berkata mereka “berlumba dengan masa untuk membina tempat perlindungan besar di kawasan Al-Tawam, utara Bandar Gaza, dan memastikan akses air bersih sebelum musim sejuk.”






