Malaysia Oversight

Tiada rekod rasmi Kg Sg Baru tanah MAS

By MkiniBM in October 9, 2025 – Reading time 4 minute
Tiada rekod rasmi Kg Sg Baru tanah MAS


PARLIMEN | Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menegaskan bahawa tiada rekod rasmi yang menunjukkan Kampung Sungai Baru adalah tanah Penempatan Pertanian Melayu (MAS) atau rizab Melayu.

Zaliha berkata demikian ketika sesi penerangan menteri kepada ahli parlimen mengenai hala tuju pembangunan Kampung Baru dalam pemerkasaan identiti Melayu di Kuala Lumpur.

“Sejarahnya, tapak Kampung Sungai Baru terbentuk pada tahun 1967, iaitu tujuh tahun sebelum Kuala Lumpur diserahkan kepada Persekutuan, di mana negeri pada ketika itu menjajar dan meluruskan Sungai Klang yang terletak bersebelahan di kawasan tanah MAS bagi mengatasi masalah air bah di kawasan tersebut.

“Pengalihan laluan Sungai Klang ini melibatkan kawasan di sebelah kanan Sungai Klang, dari hulu sungai ke hilir. Setelah sungai tersebut diluruskan, maka wujudlah tanah baru yang dianggarkan seluas lebih kurang 16 ekar. Tanah baru inilah yang dinamakan Kampung Sungai Baru. Tetapi, tidak termasuk di dalam kawasan rizab MAS seluas 219.91 ekar.

“Namun, tiada rekod rasmi yang menunjukkan tanah tersebut adalah tanah MAS atau rizab Melayu,” katanya.

Tambahnya, tanah itu kemudiannya dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri (PKNS) bertujuan untuk menambah penempatan orang Melayu di sekitar Kampung Baru.

Kenyataan Zaliha itu bercanggah dengan bekas ketua audit negara Ambrin Buang berkaitan status tanah Kampung Sungai Baru.

Ambrin yang merupakan Ahli Dewan Diraja dan juga bekas pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) dalam kenyataan bertarikh 1 Oktober lalu, antaranya menegaskan kampung itu sebagai MAS dan tidak boleh ditukar kepada bukan Melayu.

Ambrin antaranya berkata, tanah Kampung Sungai Baru asalnya sebahagian daripada tanah warta MAS berpandukan kepada pewartaan 1901.

bd910c4b66fcd5f76c311a218fab1e0e
Bekas ketua audit negara Ambrin Buang

“Malah jika dilihat kepada warta bertarikh 16 Februari 1932, jelas menunjukkan bahawa kedudukan kawasan tanah di bawah warta MAS sebagai terletak pada kedudukan the right bank of Klang River downstream (tebing kanan hilir Sungai Klang),” katanya.

Katanya, pewartaan MAS dikekalkan walaupun kegunaannya ditukar untuk tujuan penempatan orang Melayu, berdasarkan catatan sejarah setiausaha kehormat MAS pada tahun 1933-41 John Hand.

“Pewartaan sebagai tanah MAS ini terus kekal hingga ke hari ini,” kata Ambrin.

Pejabat Diraja Selangor kemudian berkongsi kenyataan media Ambrin itu.

Menurut Pejabat Diraja Selangor Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah disembah maklum dan membaca kenyataan media Ambrin berhubung Kampung Baru dan isu pembangunan di Kampung Sungai Baru.

Zaliha bagaimanapun tidak mengulas kenyataan Ambrin.

“Saya mohon maaf kerana tidak boleh mengulas panjang tentang isu ini memandangkan isu ini masih lagi di dalam proses pengurusan kes di mahkamah.

“Cuma apa yang saya boleh katakan adalah berdasarkan semakan PTGWPKL (Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur), tanah tersebut tidak pernah diwartakan sebagai kawasan MAS atau tanah rizab Melayu,” katanya.

Isu pengambilan tanah

Sementara itu, Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang mengakui bahawa proses pengambilan tanah tersebut dibuat secara tergesa-gesa iaitu dalam masa tiga hari sahaja ketika pemerintahan Perikatan Nasional (PN).

“Apa yang sebenarnya berlaku adalah, pemaju telah menghantar permohonan kepada kementerian untuk mengambil tanah tersebut, termasuk unit flat dan lot teres. Kemudian, permohonan tersebut dipertimbangkan oleh Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Wilayah Persekutuan pada 9 September 2020 yang dipengerusikan oleh Menteri pada ketika itu, iaitu Annuar Musa.

“Syor mesyuarat dibawa ke Jawatankuasa Kerja Tanah (JKT) WPKL pada 12 April 2021 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara pada ketika itu, dan diluluskan. Pewartaan bagi Seksyen 4 dan Seksyen 8 APT 1960 telah dilaksanakan pada 18 dan 21 Jun 2021, dalam tempoh tiga hari sahaja, iaitu Jumaat, Sabtu, dan Ahad.

“Keputusan yang dibuat dalam masa tiga hari perlu ditanya kepada menteri ketika itu. Disebabkan keputusan yang dilaksanakan tergesa-gesa ini, keseluruhan tanah tersebut telah pun menjadi hak milik pemaju,” katanya.

969b16c4fa7dabe6f6aee62eec6cb6e5

Dia juga berkata, seperti mana Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim yang menggantikan Annuar selaku menteri Wilayah Persekutuan, dia juga mewarisi masalah berkenaan.

“Saya juga bersimpati kepada Arau yang merupakan Menteri Wilayah Persekutuan menggantikan Annuar Musa, yang juga mewarisi masalah ini seperti yang saya sedang hadapi sekarang.

“Proses-proses ini berjalan sebelum Arau menjadi Menteri Wilayah Persekutuan lagi. Saya memberi pencerahan ini supaya tidak timbul lagi salah faham kepada sahabat saya YB Arau (Shahidan),” katanya sambil melihat ke arah Shahidan yang turut berada di Dewan Rakyat ketika sesi penerangan itu.

Sebelum ini, peguam yang mewakili sejumlah penduduk yang tidak bersetuju dengan pengambilan tanah itu, N Surendran menggesa operasi pengosongan ditangguhkan sementara bagi membolehkan penduduk berbincang dengan wakil .

Surendran juga mengecam Zaliha yang menurutnya cuba melepaskan kerajaan daripada tanggungjawab daripada proses itu.

Pada 11 Sept lalu tercetus ketegangan di Kampung Sungai Baru selepas beberapa penduduk yang berdepan tindakan pengusiran enggan berpindah dari kediaman masing-masing.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman mengalami kecederaan di kepala semasa operasi pengusiran pada hari itu.

Nilai ambang persetujuan 50% sahaja

Sementara itu, Zaliha juga menggunakan sesi penerangan hari ini untuk melemparkan tuduhan bahawa kerajaan PN sebagai punca segala kontroversi yang sedang berlaku hari ini.

Menurutnya, pada tahun 2021, Kementerian Wilayah Persekutuan pada ketika itu menetapkan nilai ambang persetujuan sekurang-kurangnya 50 peratus sahaja sebagaimana yang dinyatakan dalam Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Kuala Lumpur.

Katanya, pada tahun 2020, tiada sebarang dasar di peringkat Wilayah Persekutuan mengenai ambang persetujuan yang ditetapkan untuk pengambilan tanah.

Maka, katanya di sini timbulnya keadaan di mana Akta Pengambilan Tanah itu digunakan untuk penduduk yang tidak bersetuju.

“Pada tahun 2022, pada era Shahidan menjadi menteri, nilai ambang persetujuan untuk pembangunan di Kuala Lumpur ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya 75 peratus.

“Namun, pengecualian diberikan kepada kawasan Kampung Baru yang masih kekal dengan ambang persetujuan sekurang-kurangnya 50 peratus.

“Hanya pada tahun 2023, iaitu pada era Perdana Menteri Ibrahim dan juga Menteri Wilayah Persekutuan sebelum saya mengambil alih, barulah kadar ambang persetujuan untuk pembangunan di Kampung Baru ditingkatkan kepada sekurang kurangnya 75 peratus sama seperti kawasan lain di Kuala Lumpur,” katanya.



Source link