PARLIMEN | Tiada kelulusan perlombongan nadir bumi di hutan simpan yang diwartakan akan diberikan sehingga Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim yang diluluskan, menurut Johari Abdul Ghani yang kini turut menjalankan tugas sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata draf RUU itu kini sedang diteliti oleh Jabatan Peguam Negara.
“Apabila dimuktamadkan, RUU akan dibentang di Dewan Rakyat. Jika tiada perubahan besar, ia disasarkan untuk dibawa selepas pembentangan Belanjawan 2026. Sementara menunggu, pada masa ini tiada aktiviti perlombongan nadir bumi di hutan simpan.
“Dalam tempoh itu, satu pasukan penyelidik yang diketuai Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) telah ke kawasan hutan simpan di Labis, Johor, untuk meneliti apa yang perlu dilakukan sebelum dan selepas aktiviti perlombongan,” kata Johari ketika menjawab soalan Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam soalan tambahannya, Hasni meminta penjelasan mengenai pendirian kerajaan terhadap RUU Perubahan Iklim yang dicadangkan sebagai dasar menyeluruh untuk memandu semua agensi persekutuan dan negeri dalam meluluskan serta memantau aktiviti perlombongan.
Terdahulu, menjawab soalan utama daripada Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berhubung sokongan kerajaan terhadap cadangan perlombongan nadir bumi di Terengganu, termasuk di hutan simpan, Johari sekali lagi menegaskan tumpuan kini adalah mencari kaedah terbaik untuk mengelakkan kerosakan alam sekitar akibat larut lesap.
Secara khusus, Johari merujuk projek “proof of concept” yang sedang dijalankan di Kenering, Perak – melibatkan kawasan seluas 270 ekar – bagi menganalisis jumlah larut lesap yang dihasilkan bagi setiap tan nadir bumi untuk dieksport ke China, memandangkan Malaysia tidak mempunyai kemudahan untuk memprosesnya.
“Dulu kita ada perlombongan tembaga di Ranau, Sabah…Apa yang berlaku? Sisa buangan telah mencemarkan alam sekitar, malah ikan pun tidak boleh hidup dalam air,” katanya sambil menambah bahawa projek tersebut akhirnya dihentikan.
Katanya lagi, eksperimen yang sedang dijalankan kini melibatkan saluran larut lesap ke tanah yang diperuntukkan bagi tanaman sawit, getah dan ternakan ikan, untuk memantau kesannya.
Laporan oleh Alyaa Alhadjri, Zarrah Morden.