Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata dia tidak menerima sebarang perkembangan terbaru daripada pihak polis mengenai kes serangan terhadap anaknya yang berlaku pada 13 Ogos lalu.
Bercakap kepada Malaysiakini, Ahli Parlimen Pandan itu berkata dia bercadang untuk mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa.
“Tiada perkembangan atau berita daripada pihak berkuasa mengenai anak saya.
“Saya akan tunggu sedeikit masa lagi sebelum saya bangkitkan perkara ini lagi,” kata bekas timbalan presiden PKR itu.
Rafizi berkata anaknya kini menjalani pemeriksaan perubatan secara berkala selepas dicucuk dengan jarum suntikan dalam serangan itu.
Pada 22 Ogos, Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, berkata pihak polis telah merekodkan keterangan daripada 19 individu, termasuk ahli keluarga Rafizi, berkaitan kes serangan terhadap kanak-kanak berumur 12 tahun itu di sebuah pusat beli-belah.

“Selain itu, polis telah mengambil dan sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman.
Khalid berkata pihak polis masih menunggu laporan kimia daripada pihak hospital mengenai cecair yang disuntik ke tubuh anak Rafizi semasa serangan itu.
Susulan serangan terhadap anaknya, isteri Rafizi menerima mesej ugutan berbunyi:
“Diam! Andai teruskan, AIDS!,” yang disertakan dengan tiga emoji jarum suntikan.
Farhash nafi kaitan
Seminggu selepas serangan itu, Rafizi mendedahkan dia menghadiri satu pertemuan dengan pemberi maklumat tidak lama sebelum itu, berkaitan bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Rafizi menimbulkan kemungkinan serangan itu adalah akibat langsung daripada pertemuan tersebut.
Namun, Farhash menafikan kaitannya dengan serangan itu dan menyifatkan dakwaan itu sebagai “gila”.
Bulan lepas, Rafizi menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bekas pembantu Anwar itu selepas dia dikaitkan dengan skandal perlombongan di Sabah.






