Malaysia Oversight

Tiada pergeseran dengan Zahid, Umno Sabah kekal ada autonomi

By MkiniBM in September 4, 2025 – Reading time 3 minute
Tiada pergeseran dengan Zahid, Umno Sabah kekal ada autonomi


WAWANCARA | Bung Moktar Radin mempertahankan autonomi Sabah, di tengah rundingan kerusi menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang kian hampir, sambil menolak dakwaan wujudnya ketegangan dengan presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap dalam audio siar KiniTV, pengerusi Sabah itu menjelaskan ketidakhadiran mereka pada mesyuarat bulan lalu di Seri Perdana – yang dipengerusikan Perdana Menteri Ibrahim bersama pemimpin BN, PH dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor – adalah kerana masalah jadual, bukannya ekoran perbalahan politik.

“Bukan begitu (perpecahan). Ketika itu, kami ada banyak program di Sabah dan tidak dapat hantar wakil. Antara Sabah dan Umno (pusat), tidak ada krisis,” kata Bung.

Kata Bung, meskipun Zahid kekal menandatangani watikah calon, semua urusan lain berkaitan Umno Sabah diuruskan secara bebas di bawah kepimpinannya.

“Kalau saya tandatangan (watikah calon), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tak terima. Jadi tiada krisis dengan presiden. Kita berjalan seiring, dan dia memberi mandat kepada saya untuk urus Umno Sabah, termasuk pilihan raya,” kata ahli Parlimen Kinabatangan selama enam penggal itu lagi.

Isu ketegangan

Mesyuarat di Seri Perdana itu dibuat di tengah spekulasi sekitar “cinta tiga segi” antara BN, PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dengan Bung sebelum itu berkata Umno Sabah akan bertembung dengan calon GRS tetapi terbuka untuk mempertimbang kerjasama selepas PRN.

3a582e7db0fb580cfa20e185fa9ed34e
Mesyuarat di seri Perdana

pula menegaskan keutamaan rundingan adalah untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru yang boleh memecahkan undi blok dan mengelirukan pengundi Sabah.

Susulan itu, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan penubuhan jawatankuasa teknikal bagi meneliti aspek kerjasama antara parti-parti dalam menghadapi PRN.

Ditanya mengenai tekanan daripada pemimpin Umno agar pertembungan antara sekutu dielakkan, dan jika dia akan mempertimbang untuk menarik Umno Sabah keluar dari BN, Bung berkata ia tidak perlu sehingga ke tahap itu.

“Setakat ini, tiada tekanan begitu. Politik itu seni – seni kebijaksanaan. Kalau kita urus krisis dengan tenang, insya-Allah boleh selesai. Pemimpin yang panik bawah tekanan tidak mampu membina diri untuk jadi pemimpin bijaksana.”

BN Sabah menang 16 daripada 73 kerusi DUN pada PRN lalu dan kemudian bergabung dengan PN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk melawan Warisan Plus.

Namun jajaran politik telah berubah sejak itu. BN kini ada tujuh pembangkang, dua lantikan, dan tiga Adun – dengan jumlah keseluruhan 12 kerusi.

Pada bulan lalu, timbalan pengerusi BN Mohamad Hasan berkata gabungan itu bercadang untuk bertanding sekurang-kurangnya satu kerusi DUN di kesemua 25 kawasan Parlimen di Sabah.

‘Saya tak akan lompat’

Meskipun amalan lompat parti sering berlaku di Sabah, Bung menegaskan kesetiaannya tetap kepada Umno.

Sejak 2018, katanya lagi, dia menerima tawaran untuk lompat parti, termasuk dengan jaminan dia tidak akan dihadapkan ke mahkamah. 

d7900bf206cc2fbf0ec1025e71ab58f2

Bung kini berdepan tiga pertuduhan rasuah selaku bekas pengerusi bukan eksekutif Felcra Berhad.

“Masa itu, 23 bahagian berpaling tadah, tinggal saya seorang. Tapi saya tetap teguh.

“Keahlian Umno Sabah yang merosot sehingga 480,000 ketika lompat parti, kini meningkat kepada 613,000 di bawah saya. Tak ada sebab untuk lompat,” katanya lagi.

Adun Lamag itu turut menegaskan Umno kekal mejadi perjuangan seumur hidupnya.

“Dari dulu sampai sekarang, perjuangan kami bukan tentang tukar parti. Umno parti keramat, ditubuhkan untuk mencapai kemerdekaan dan mengangkat agama, bangsa dan negara. Mengapa perlu tinggalkan parti ini?”

Tolak agenda ‘tempatan’ Warisan 

Bung turut menolak seruan presiden Warisan Shafie Apdal agar pengundi Sabah menolak parti dari Semenanjung.

“Parti hanya platform – yang penting pemimpin. Saya dari Kinabatangan, memimpin Umno Sabah, dan semua pimpinan kami orang tempatan Sabah, sama ada Muslim atau bukan Muslim.

“Dari apa yang saya lihat, orang Sabah tidak terpengaruh dengan hujah begitu. Mereka mahu kepimpinan. Warisan sudah pernah memerintah, jadi rakyat tahu (pencapaiannya). Insya-Allah, Umno akan tetap ada tempat di hati rakyat Sabah,” katanya sambil menekankan kekuatan jentera parti itu di peringkat akar umbi.

Penggal ke-16 DUN Sabah akan berakhir secara automatik pada 11 Nov.

[Baca berita asal]



Source link