PUTRAJAYA: Tiada mana-mana pihak akan dituduh buat masa ini membabitkan kes dakwaan rasuah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sebagai entiti yang menjalankan siasatan, pihaknya tidak ada sebarang kawalan untuk meletakkan garis masa tertentu dalam membuat sebarang pertuduhan.
“Pendakwa raya merupakan entiti bebas. Saya rasa sudah tentu pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang diketuai oleh Peguam Negara mempunyai satu polisi tertentu untuk menetapkan garis masa bagi membuat keputusan terhadap mana-mana kes.
“Ia bergantung kepada keadaan kes-kes berkenaan,” katanya dalam sidang akbar Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.
Azam berkata, wang tunai berjumlah RM170 juta yang disita dalam siasatan kes terbabit telah dilucut haknya kepada kerajaan.
“Menerusi sebutan kes semalam, pihak responden tidak mencabar permohonan SPRM untuk melucut hak aset yang dirampas itu.
“Ini bermakna secara rasminya wang ini adalah menjadi hak milik kerajaan dan proses melucut hak itu berkuat kuasa pada hari ini. Mungkin dalam tempoh terdekat akan masuk dalam akaun kerajaan,” jelasnya.
Ismail Sabri sebelum ini beberapa kali hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Siasatan dibuat selepas Ismail Sabri membuat pengisytiharan harta mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.
Ismail Sabri pada 10 Februari lalu membuat pengisytiharan harta dan SPRM sedang menganalisis sumber perolehan aset berkenaan.
SPRM pada 3 Jun lalu mempamerkan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta dalam sidang akhbarnya.
Wang itu dipamerkan selepas SPRM mendedahkan, wang tunai ratusan jutaan ringgit dan barangan berharga dirampas dalam tiga premis termasuk sebuah ‘safehouse’, berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.
Pada sidang media Mac lalu, SPRM mempamerkan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa dan 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
Wang itu dipamerkan selepas SPRM mendedahkan wang tunai ratusan juta ringgit dan barangan berharga dirampas dalam tiga premis termasuk sebuah ‘safehouse’, berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri.
Wang tunai dirampas itu membabitkan nilai dalam Baht, Riyal, Pound Sterling (GBP), Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan.-UTUSAN