Genting Malaysia Berhad mengesahkan rancangan untuk mengenakan caj ke atas kenderaan yang menggunakan Jalan Genting Highlands, dengan pelaksanaannya dijangka diumumkan pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata caj baharu bagi jalan persendirian itu perlu dilaksanakan bagi menampung kos penyelenggaraan jalan dan cerun sepanjang 24 kilometer yang semakin meningkat — kos ini ditanggung sepenuhnya oleh Genting Malaysia sejak tahun 1960-an.
“Dibina secara persendirian oleh Genting Malaysia di kawasan pergunungan yang sukar, Jalan Genting Highlands menyediakan laluan selamat ke Resorts World Genting serta destinasi lain di lereng gunung,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan spekulasi di media sosial bahawa Genting Malaysia sedang melaksanakan semula cadangan lama untuk menubuhkan pondok tol di jalan persendirian tersebut — satu cadangan yang pertama kali dilaporkan pada 2023.
Dua hari lalu, Genting turut mengeluarkan nasihat perjalanan di platform media sosialnya mengenai lencongan sementara di KM 14.7 Jalan Genting Highlands (arah ke atas) yang berkuat kuasa 12 November 2025.
Syarikat itu menjelaskan bahawa penggunaan intensif selama bertahun-tahun telah menyebabkan kerosakan ketara pada jalan tersebut, dan memerlukan penyelenggaraan berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna.
“Berdasarkan prinsip ‘pengguna membayar’, caj jalan persendirian ini adalah langkah paling mampan untuk menampung kos penyelenggaraan, pembaikan dan kejadian tidak dijangka.
“Langkah ini bertujuan memastikan jalan tersebut kekal selamat untuk semua pengguna serta terus menjadi akses utama kepada komuniti, perniagaan, pelancong dan orang awam dari seluruh negara,” kata syarikat itu.

Genting Malaysia menegaskan bahawa inisiatif itu melibatkan caj jalan persendirian di atas tanah persendirian.
Syarikat itu berkata ia telah lama memikul tanggungjawab memastikan keselamatan jalan tersebut, termasuk menempatkan pasukan tindak balas kecemasan 24 jam di kawasan pertengahan bukit dan puncak.
“Bekerja di kawasan pergunungan adalah mencabar, berisiko dan mahal, namun ia penting bagi menjamin keselamatan jalan serta cerun,” katanya.
Genting turut menekankan sumbangan ekonomi lebih luas daripada kewujudan jalan tersebut, dengan menggambarkan Jalan Genting Highlands sebagai infrastruktur penting yang membantu merancakkan industri pelancongan tempatan, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan serta menyumbang kepada ekonomi negeri Pahang dan negara.

“Kewujudan Jalan Genting Highlands telah membolehkan kemunculan pelbagai destinasi pelancongan lain di kawasan pergunungan di luar kumpulan Genting Malaysia, sekali gus menyumbang kepada industri pelancongan yang dinamik,” katanya.
Menut syarikat itu, maklumat lanjut mengenai kadar caj dan tarikh pelaksanaan akan diumumkan sebaik keputusan muktamad dicapai.






