Tidak ada gunanya berdebat dengan sebuah parti yang cuba kembali meraih perhatian melalui taktik murahan, khususnya selepas ditolak oleh pengundi pada Pilihan Raya Umum yang lalu, kata Pemuda DAP.
Sebaliknya, MIC digesa berhenti membuang masa menghasilkan poster palsu dan sepatutnya menumpukan semula perhatian kepada usaha membantu rakyat.
Mereka berkata poster palsu yang disebarkan, kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Buntong M Thulsi bersetuju menerima cabaran debat dengan Ketua Pemuda MIC Perak, Theeagash Ganesan, adalah satu provokasi politik bertujuan mengalih perhatian orang ramai dan menjejaskan kredibilitinya.

“MIC telah menjadi sebahagian daripada kerajaan selama hampir enam dekad, namun masyarakat India di Malaysia masih berdepan cabaran dan kesukaran sosio-ekonomi yang berpanjangan.
“Jika rekod prestasi MIC benar-benar kukuh, realiti kehidupan masyarakat India Malaysia hari ini pasti berbeza sama sekali.
“Tetapi hakikatnya, MIC telah gagal memperjuangkan hak masyarakat India,” kata Pemuda DAP Perak.
Ia juga menegaskan bahawa Thulsi tidak pernah bersetuju untuk menyertai debat tersebut, dan bahawa poster yang tular itu adalah rekaan semata-mata yang bertujuan mengelirukan orang awam dan menjejaskan reputasinya.
Mereka menambah bahawa Adun Buntong itu kekal komited terhadap tanggungjawabnya di kawasan dan bekerja keras untuk semua pengundi termasuk masyarakat India.

“Debat sepatutnya membawa nilai tambah kepada sesuatu perjuangan.
“Namun, tiada apa-apa nilai yang boleh diperoleh dengan berdebat mengenai rekod prestasi parti, jika MIC sendiri tiada rekod yang boleh dibanggakan.
“MIC seharusnya melibatkan diri dalam usaha yang ikhlas dan membina, bukannya drama dalam talian dan serangan peribadi.”
Malaysiakini pada 1 Ogos melaporkan bahawa Ganesan mencabar Thulsi untuk berdebat secara terbuka, dengan tumpuan terhadap rekod prestasi MIC dan DAP dalam berkhidmat kepada masyarakat India.

Namun begitu, Thulsi mengesahkan kepada Malaysiakini hari ini bahawa poster yang tersebar, kononnya dirinya menerima cabaran itu, adalah palsu dan dipercayai didalangi MIC.