Bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa dia tidak pernah melihat sebarang permohonan belanjawan daripada bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan, Zuraida Kamaruddin, untuk membina rumah estet di Kuala Kubu Bharu semasa tempoh perkhidmatannya antara 2018 hingga 2020.
Lim, yang memberi keterangan dalam kes fitnah terhadap Zuraida pagi ini, berkata dia tidak mengingati sebarang perbincangan mengenai projek pembangunan itu dengan defendan, sama ada secara peribadi atau dalam mesyuarat.
Ini bercanggah dengan dakwaan Zuraida dalam kenyataan pembelaannya, yang menyatakan Lim menolak permohonannya dalam satu mesyuarat pada Oktober 2018 dan mesyuarat-mesyuarat berikutnya pada 2019.
Lim juga berkata tiada permohonan bertulis yang menyokong dakwaan Zuraida.
“Tiada permohonan sebegini daripada beliau (Zuraida) secara rasmi di pejabat Kementerian Kewangan. Sebarang permohonan lisan mesti disokong dengan dokumen rasmi.

“Jika sesuatu permohonan (bajet) dihantar kepada saya, ia pasti akan dirujuk bersama pegawai kerana permohonan ini tidak boleh sekadar khabar angin (atau diminta secara lisan). Ia mesti diikuti dengan permohonan rasmi.
“Tanpa permohonan rasmi, ia tidak akan diterima kerana tiada bukti hitam putih untuk menyokongnya.
“Sebagai menteri kewangan, kami menguruskan beribu-ribu permohonan yang melibatkan jumlah dana yang besar. Kami tidak boleh membuat keputusan berdasarkan khabar angin (permohonan lisan),” katanya ketika disoal balas oleh peguam Zuraida, Nizamuddin Hamid.
Lim menegaskan bahawa walaupun terdapat persetujuan lisan antara menteri mengenai permohonan bajet, persetujuan tersebut mesti dibuat secara rasmi melalui permohonan bertulis kepada kementerian kewangan supaya pegawai kerajaan dapat melaksanakan tindakan yang diperlukan.
Lim menambah bahawa sebelum kenyataan Zuraida pada 10 Mei 2024, dia tidak tahu mengenai projek perumahan itu ataupun sama ada ia telah diluluskan semasa pentadbiran sebelumnya, di mana pada masa itu, bekas perdana menteri Najib Razak merupakan menteri kewangan.
Lim, 65, memfailkan saman fitnah terhadap Zuraida dan editor portal berita dalam talian Malaysianow serta pemiliknya, Mnow Media Sdn Bhd pada Jun 2024, dengan mendakwa Zuraida telah mengeluarkan kenyataan fitnah berkaitan projek perumahan untuk bekas pekerja ladang di Bestari Jaya terhadapnya.
Tuduhan yang dibuat oleh Zuraida tertumpu pada apa yang didakwa berlaku semasa Lim mengetuai kementerian kewangan.
Ahli Parlimen Bagan itu mendakwa kenyataan tersebut disiarkan di Malaysia Now melalui artikel bertajuk “Zuraida dakwa Guan Eng tolak dua kali permohonan KPKT bina rumah pekerja ladang Bestari Jaya” yang diterbitkan pada tarikh sama.
Naratif palsu
Sementara itu, bekas setiausaha politik Lim, Tony Pua, yang menjadi saksi kedua plaintif hari ini, memberitahu mahkamah bahawa Lim tidak mungkin menolak permohonan yang tidak wujud.
“Tuduhan itu secara fakta adalah mustahil.
“Walaupun saya membuat penjelasan kepada umum pada hari yang sama, defendan tidak menarik balik atau membetulkan kenyataan lisan yang dipersoalkan itu. Mereka membiarkan naratif palsu itu terus tersebar kepada umum.
“Kenyataan itu jelas merendahkan plaintif dalam pandangan masyarakat yang berfikir secara waras, menyebabkan beliau dipandang hina atau diejek dan menuduh beliau secara salah menyalahgunakan jawatannya sebagai menteri kewangan,”katanya.

Dia menambah bahawa beliau tidak mengingati sebarang cadangan berkaitan projek perumahan yang didakwa daripada KPKT yang dihantar atau dipertimbangkan oleh kementerian kewangan semasa menjadi setiausaha politik Lim.
“Sebaliknya, saya jelas mengingati cadangan lain daripada KPKT dalam tempoh yang sama, termasuk skim sewa rumah kos rendah yang memerlukan jaminan kementerian kewangan, yang melalui perbincangan menteri dan pembentangan di peringkat pegawai sebelum ia dihentikan di peringkat pegawai kerana dinilai akan memberi keuntungan yang tidak wajar kepada bank swasta sambil mendedahkan kerajaan kepada kerugian.
“Dalam keadaan ini, saya yakin sekiranya wujud permohonan formal dan sahih seperti yang didakwa dan telah melepasi perbincangan awal, ia pasti sampai ke pengetahuan plaintif di pejabatnya, dan saya juga akan mengetahuinya,” katanya.
Plaintif mengakhiri kes mereka di hadapan hakim Shoba Rajah hari ini. Peguam defendan mengesahkan kepada Malaysiakini selepas prosiding hari ini bahawa Zuraida akan memberi keterangan esok.






