Penyanyi rap Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namawee akan dibebaskan dengan jaminan polis esok, maklum Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar.
Dia memberitahu Malaysiakini bahawa setakat ini, tiada sebarang petunjuk dalam kertas siasatan polis yang dapat mengaitkan penyanyi rap itu dengan kematian pempengaruh Taiwan, Hsieh Yu-hsin.
“Arahan-arahan telah diberikan untuk siasatan lanjut dijalankan dlm kes ini. Setakat ini tidak ada bukti-bukti yang boleh menunjukkan bahawa suspek terlibat dalam menyebabkan kematian si mati.
“Namun, jika ada sebarang penemuan baru hasil dari siasatan lanjut yang akan dijalankan, AGC akan mengambil tindakan yang sewajarnya. Esok suspek akan dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata kertas siasatan kes itu telah dirujuk kepada AGC semalam.
Namawee merupakan individu utama yang membantu siasatan kerana dia dilaporkan sebagai orang terakhir dilihat bersama pempengaruh itu sebelum wanita berusia 33 tahun itu ditemui mati di dalam tab mandi bilik hotel di Kuala Lumpur pada 22 Okt lalu.
Penyanyi rap itu menyerah diri kepada polis pada 5 Nov lalu dan telah direman sejak itu, dengan tempoh reman dijangka berakhir esok.
Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat dan analisis toksikologi bagi menentukan punca sebenar kematian mangsa.
Kes yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut kini disiasat sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.






