Malaysia Oversight

Tiada arahan pukul, guna kekerasan ke atas tahanan

By MkiniBM in September 22, 2025 – Reading time 3 minute
Tiada arahan pukul, guna kekerasan ke atas tahanan


Jabatan Penjara tidak pernah membenarkan atau mengarahkan pegawainya menggunakan kekerasan melampau terhadap tahanan yang enggan mematuhi arahan, tegas Ketua Pengarahnya, Abdul Aziz Abdul Razak.

Dia memberi keterangan di hadapan panel Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang diketuai oleh pengerusinya, Hishamudin Yunus, bersama pesuruhjaya Farah Nini Dusuki, dalam siasatan berhubung insiden pergaduhan pada 17 Januari lalu yang melibatkan lebih 100 orang banduan dengan satu kematian di Penjara Taiping.

Pada 9 Julai, panel yang sama telah mendengar keterangan daripada seorang sarjan Penjara Taiping bahawa insiden itu berpunca daripada bantahan banduan untuk dipindahkan ke Blok E atas alasan keselamatan.

Hari ini, Abdul Aziz menyatakan bahawa kejadian tersebut sepatutnya boleh dielakkan sekiranya para tahanan mematuhi arahan pegawai berhubung pertukaran penempatan.

“Saya tak pernah suruh jabatan penjara pukul orang. Tak pernah. Malah kenyataannya kita perkenalkan Peraturan Nelson Mandela walaupun kita ada peraturan penjara, itu tak betul…

997d4eae36c796191fb4948d0b0397b8

“Kalau statement cakap biasa berlaku (pegawai penjara pukul tahanan), saya sangkal. Saya sangkal,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh pegawai pembantu panel, Simon Karunagaram.

Peraturan Nelson Mandela yang dirujuk oleh Abdul Aziz itu merujuk kepada Peraturan Piawai Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Layanan terhadap banduan yang telah dikemas kini pada tahun 2015.

Peraturan tersebut menetapkan kerangka sejagat bagi keadaan dan pengurusan penjara yang berperikemanusiaan, serta memberikan panduan kepada kakitangan penjara dari segi latihan dan pemeriksaan berkala secara bebas.

Abdul Aziz telah ditunjukkan rakaman CCTV insiden tersebut pada awal prosiding dan kemudian memaklumkan kepada Hishamudin bahawa dia berasa sangat kecewa melihatnya.

bf535bd7049a1d5176c03b17460df160

Dia berkata jabatan akan mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat, khususnya pegawai penjara, selepas siasatan Suhakam selesai dan sekiranya tiada individu dibawa ke mahkamah untuk didakwa.

“Saya cakap awal. Bila polis dah habis, saya akan ambil tindakanlah. Itu saja jawapannya. Dia ingat boleh berlaku sewenang wenang tendang orang pukul orang macam tu ke. Dia ingat suka-suka ke,” katanya.

Dia turut mengakui kepada panel bahawa insiden pergaduhan itu menunjukkan Jabatan Penjara telah melayani tahanan dengan cara yang salah.

“Saya yakin, berlaku benda ini, jika sekiranya dapat (memberi maklum balas kecemasan dengan segera) mungkin Gan dapat diselamatkan. Mungkin,” katanya.

165700d238c148e889dd839fef70725b

Abdul Aziz mengakui pegawai yang akhirnya membawa Gan ke Hospital Taiping telah mengambil masa sekitar 20 hingga 30 minit untuk melepasi pintu utama penjara dan mengambil masa lima minit lagi untuk sampai ke hospital dari situ.

Namun begitu, katanya, Gan masih hidup ketika tiba di pintu utama.

Terdahulu, Aziz ketika ditanya mengakui kehilangan nyawa banduan suatu perkara yang serius.

“Yang kita selamat pun banyak. (Kes) ni memang cuai lah, kan kita dah nampak tadi (dalam rakaman CCTV),” tambahnya.

Laporan JKR Penjara Taiping tak lengkap

Abdul Aziz turut mengakui bahawa jabatannya telah menerima laporan keselamatan bangunan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), tetapi laporan itu tidak lengkap.

Dia juga memaklumkan bahawa para tahanan enggan dipindahkan ke Blok E kerana kemudahan tandas yang tidak sempurna, iaitu menggunakan sistem tandas baldi.

“Block B dan E ni, pihak JKR mengatakan tidak selamat untuk diduduki. Tapi, butiran yang dia bagi kepada Jabatan Penjara tak lengkap.

“Tak selamat bagaimana, sama ada di bawah ke di atas ke di bawah, saya tak pasti. Dia pun tak cakap… jadi kita akui dia ada authority, bangunan tak selamat diduduki,” katanya.

Namun, dia menjelaskan kebuntuan untuk pihaknya menempatkan tahanan-tahanan ini.

“Tapi kalau dah kata tak selamat, kenapa dia (JKR) kata nak repair untuk blok B, C, D dan E?

“Maknanya boleh pakai… tapi hati-hati lah sebab dia bukan structure nak runtuh, dia punya lantai tu tenggelam. Lantai dia tenggelam,” kata Abdul Aziz lagi.

Panel kemudiannya menamatkan siasatan mereka terhadap kes ini hari ini selepas mendengar keterangan pengarah penjara itu sebagai saksi ke-50 dan menetapkan 29 November untuk pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis, serta 15 Disember mendengar hujahan lisan.

[Baca berita asal]



Source link