Seorang yang mendakwa dirinya sebagai ‘Thanos’–tetapi menafikan terlibat dengan sebarang sindiket–mengugut untuk menyaman Malaysiakini susulan penyiaran laporan berkaitan kegiatan rasuah di pintu masuk negara.
Dalam notis tuntutan yang dihantar melalui tetuan Hamzan Daiza & Associates minggu lepas, dia mendakwa portal ini menyiarkan laporan berunsur fitnah terhadap Thanos.
Berita dirujuk adalah ‘Phantom travel’: Satu lagi sindiket di KLIA dan Sindiket di KLIA: Thanos ‘dihukum’ pindah ke unit baru.
Laporan-laporan itu, menurut Hamzan Daiza & Associates, menyebabkan anak guam mereka mengalami kerosakan reputasi dan menyebabkan ancaman padanya.
“Ia juga memberikan kesan yang mendalam kepada kerja anak guam kami dan juga gangguan secara mental kepada anak guam kami,” katanya dalam surat tuntutan guaman itu.

Selain itu, katanya, “fitnah” itu juga tersebar meluas di pelbagai platform media sosial oleh pengguna maya, menyebabkan dia mendapat kecaman awam.
Hamzan Daiza & Associates juga berkata Thanos, berdasarkan gred dan pangkatnya, tidak mempunyai kuasa melakukan perkara yang dinyatakan dalam artikel Malaysiakini.
Peguam Thanos juga berkata maklumat dipaparkan Malaysiakini tiada asas dan diterbitkan dengan niat memalukan dan merosakkan reputasi anak guam mereka.
Thanos justeru menuntut permohonan maaf dari Malaysiakini, penarikan balik artikel itu serta jaminan bertulis untuk tidak menerbitkan kenyataan berunsur fitnah kepadanya.
Malaysiakini juga dituntut membayar ganti rugi dan pampasan–yang jumlahnya hendaklah dipersetujui oleh Thanos–susulan dakwaan kecederaan dan kejatuhan reputasi serta kesusahan yang dialaminya.

Malaysiakini diberi tujuh hari untuk memenuhi tuntutan itu atau Thanos boleh mengambil tindakan undang-undang tanpa notis yang kos dan perbelanjaannya ditanggung oleh Malaysiakini.
Malaysiakini pada 22 Jun lalu mendedahkah kewujudan satu lagi sindiket di KLIA yang dinamakan phantom travels (pengembara hantu), yang membolehkan pegawai kerajaan melancong ke luar negara tanpa rekod imigresen.
Nama Thanos muncul apabila sumber ibu pejabat imigresen di Putrajaya mendakwa seorang kakitangan imigresen yang dikenali sebagai ‘Thanos’ mempunyai kekayaan luar biasa meskipun berpangkat rendah.
Dia dilaporkan sebagai rakan kepada seorang lagi pekerja imigresen diadukan kepada polis kerana dikaitkan dengan sindiket fly (penipuan cop keluar masuk).
Pada 39 Julai–kira-kira sebulan selepas itu–portal ini melaporkan bahawa Thanos dipindah unit daripada satu pasukan pengurusan imigresen Terminal 2 KLIA kepada unit lain, yang terlibat dalam kerja-kerja pejabat.
Sumber ibu pejabat imigresen menganggap pertukaran itu sebagai “hukuman” kepada Thanos.
‘Hanya jalankan tugas sebagai wartawan’
Sementara itu, Malaysiakini telah menjawab surat tuntutan itu dan mempertahankan bahawa kedua-dua laporan itu dihasilkan secara adil dan neutral serta tidak berunsur fitnah.
“Walau apa pun, anak guam kami hanya menjalankan tugas mereka sebagai wartawan untuk melaporkan isu berkaitan kepentingan awam,” menurut surat jawapan Malaysiakini yang dikeluarkan melalui tetuan Kanesalingam & Co.
Malaysiakini juga menawarkan hak untuk menjawab kepada Thanos dalam itu itu, tertakluk kepada dasar-dasar editorial yang biasa.






