BANGKOK: Thailand menegaskan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Kemboja dalam memastikan keamanan dan kestabilan di sempadan bersama.
Timbalan Jurucakap Tentera Laut Diraja Thailand, Laksamana Muda Parach Rattanachiayaphan, menyatakan komitmen negara itu menyelesaikan ketegangan melalui dialog aman.
“Tentera Laut Diraja Thailand sedia bekerjasama dengan Kemboja di bawah kerangka RBC dan GBC untuk memperkukuh keamanan sempadan,” katanya.
Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) antara kedua negara diadakan di wilayah Trat pada Sabtu.
Delegasi Thailand diketuai Komander Pertahanan Sempadan Chanthaburi dan Trat, Laksamana Madya Apichat Sapprasert.
Sementara itu, Kemboja diwakili Komander Wilayah Ketenteraan Ketiga, Mejar Jeneral Ouy Heang.
Perbincangan menekankan penyelesaian isu secara aman mengikut prinsip antarabangsa.
Thailand turut mengemukakan cadangan pembersihan periuk api dan usaha membanteras penipuan dalam talian.
“Kemboja belum memberikan maklum balas konkrit, namun kami harap mereka akan menyokong cadangan ini,” kata Parach.
Kedua-dua pihak menandatangani Minit Mesyuarat Luar Biasa RBC selepas perbincangan.
Mereka juga berikrar melaksanakan keputusan Mesyuarat Luar Biasa GBC di Kuala Lumpur pada 7 Ogos. – Bernama