PETALING JAYA: TH Plantations Berhad (THP) mencatatkan untung sebelum cukai (PBT) melonjak 16.22 peratus kepada RM29.00 juta, manakala hasil meningkat sebanyak 11.10 peratus kepada RM220.02 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 berbanding suku sama tahun sebelumnya.
Menurutnya, prestasi suku kedua itu didorong terutamanya oleh peningkatan jumlah jualan minyak. sawit mentah (CPO) dan isirung sawit (PK), serta harga purata direalisasi yang lebih tinggi bagi CPO, PK, dan buah tandan segar (FFB).
Jelasnya, bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2025, kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM399.14 juta, iaitu peningkatan sebanyak 12.33 prtatus berbanding RM355.33 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
“Walaupun jumlah jualan FFB dan CPO mencatatkan sedikit penurunan, harga purata direalisasi yang lebih tinggi terus menyokong pertumbuhan hasil. PBT terkumpul bagi separuh pertama 2025 meningkat 3.68 peratus kepada RM54.55 juta, berbanding RM52.61 juta pada 2024.
“Kumpulan terdorong oleh momentum positif yang berterusan pada suku kedua, menggambarkan keberkesanan usaha berterusan dalam meningkatkan produktiviti dan mengurus kos secara lebih efektif.
“Sehubungan itu, kumpulan kekal fokus untuk meningkatkan hasil dan kadar perahan minyak menerusi kecekapan operasi yang dipertingkat, amalan agronomi yang baik, serta mempercepatkan program penanaman semula yang telah dirancang,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, kumpulan juga sedang melaksanakan strategi jangka panjang bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual melalui peningkatan mekanisasi dan automasi, termasuk penggunaan dron di tapak semaian.
“Sebagai perancangan masa hadapan, kumpulan mengekalkan pandangan yang optimis namun berhati-hati bagi separuh kedua tahun ini.
“Walaupun harga minyak sawit mungkin berdepan dengan tekanan akibat musim kemuncak pengeluaran yang dijangkakan dan potensi peningkatan stok, peningkatan pengeluaran yang lebih perlahan di Malaysia dan permintaan terhadap biodiesel yang berterusan di pasaran utama seperti Indonesia dan Amerika Syarikat (AS) dijangka dapat memberikan sedikit sokongan.
“Sekiranya tiada halangan luar jangka, kumpulan mengunjurkan prestasi yang memuaskan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, disokong oleh pelaksanaan yang teratur dan tumpuan terhadap penciptaan nilai jangka panjang” ujarnya. -UTUSAN