Bekas Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching menang saman fitnah terhadap bekas wartawan, Yazid Othman berhubung dakwaan campur tangan dalam kurikulum sejarah untuk “mengagungkan” komunis.
“Dalam ringkasan alasan penghakiman yang disampaikan di mahkamah hari ini, (hakim) Alice Loke mendapati unsur fitnah telah dibuktikan dan Yazid gagal membuktikan pembelaannya iaitu justifikasi, komen wajar dan keistimewaan bersyarat.
“Yang Arif juga mendapati terdapat niat jahat dalam kenyataan Yazid terhadap saya.
“Saya mengalu-alukan keputusan ini kerana keadilan akhirnya ditegakkan, dan saya telah membersihkan nama saya daripada dakwaan yang tidak berasas ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Teo berkata hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam telah memutuskan ganti rugi berjumlah RM200,000 berserta faedah lima peratus setahun, dan kos berjumlah RM30,000.
Teo menjadi Timbalan Menteri Pendidikan dari 2018 hingga 2020, ketika pentadbiran PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad. Kini dia menjadi Menteri Komunikasi.
Pada Februari 2021, kontroversi teretus apabila Asyraf Wajdi Dusuki, yang ketika itu menjadi Ketua Pemuda Umno, membangkitkan isu dua halaman dalam buku teks sejarah Tingkatan Empat berkaitan peranan pemimpin kiri radikal Melayu dalam perjuangan kemerdekaan dan penentangan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (MPAJA) terhadap pendudukan Jepun.
Dia mendakwa ia merupakan satu usaha terancang oleh pentadbiran PH untuk membasuh minda pelajar dan secara halus mengagungkan komunis dan MPAJA sebagai pejuang kemerdekaan.
Dalam satu forum pada 26 Feb 2021 yang membincangkan kontroversi tersebut, yang turut dihadiri Asyraf, Yazid mendakwa terdapat “tangan ghaib” yang memanipulasi kandungan buku teks sejarah Tingkatan Empat untuk “mengagungkan komunis” sebagai pejuang kemerdekaan.
Menurutnya ketika forum itu, dakwaan tersebut dibuat berdasarkan maklumat yang diperolehinya sendiri selepas bertemu dengan pegawai Kementerian Pendidikan.

Yazid ketika itu bercakap dalam kapasiti sebagai Timbalan Pengerusi Gabungan NGO Tolak Buku Teks Sejarah Tingkatan Empat.
“Orang dalaman sendiri memberi maklumat kepada kita, dia terima panggilan telefon daripada timbalan menteri pendidikan PH, perempuan berbangsa Cina itu, mengatakan kamu ubah buku sejarah ini dengan maklumat yang saya sedang kirim sekarang. 15 minit lagi sampai kepada kamu. Bila terima kamu terus cetak,” dakwanya ketika itu.
Walaupun dia tidak menyebut sebarang nama secara langsung, jelas bahawa Teo merupakan Timbalan Menteri Pendidikan ketika itu.