Malaysia dijangka memiliki tenaga nuklear menjelang tahun 2031, menurut Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) – yang turut menetapkan matlamat untuk memperkasa sumber tenaga bersih yang lain.
Pada masa sama, kerajaan juga merancang untuk membina lebih banyak loji jana kuasa daripada sisa (waste-to-energy, WTE).
Dalam ucapan pembentangan RMK13 di Parlimen hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang meneliti penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih dan selamat.
Bagaimanapun, menurut buku utama RMK13 yang dikeluarkan oleh kerajaan hari ini, satu program pembangunan tenaga nuklear akan dilaksanakan dan dijangka mula beroperasi menjelang 2031.

Ia menyebut bahawa MyPower Corporation akan menjadi agensi pelaksana yang bertanggungjawab mentadbir program tersebut mengikut peraturan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
MyPower juga akan bertanggungjawab menjalankan program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam, serta mengurus pelaburan, penyelidikan dan pembangunan (R\&D), serta latihan kepakaran.
Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang memberitahu Parlimen bahawa kajian prakebolehlaksanaan mengenai tenaga nuklear telah pun disiapkan.
Sementara itu, di bawah RMK13, kerajaan merancang untuk membina lebih banyak loji WTE melalui kerjasama awam-swasta (PPP) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan sampah.
WTE sering menjadi isu kontroversi di Malaysia kerana kebimbangan pembakaran sisa boleh membawa risiko kesihatan dan alam sekitar yang serius.
Namun begitu, penggunaan tapak pelupusan juga semakin tidak lestari.