Berkonsepkan pendidikan, kesenian dan pembinaan komuniti yang interaktif kreatif, program Temu Pasor 2025 bakal berlangsung selama tiga hari di Pasar Besar Ipoh mulai esok.
Wakil penganjur, Herinza Syadza, berkata pemilihan Pasar Besar Ipoh sebagai lokasi program itu dibuat berdasarkan kedudukannya yang strategik dan pernah menjadi tumpuan sebagai hab yang menghimpunkan usahawan serta karyawan kreatif.
Menurutnya, pasar bukan sekadar tempat membeli-belah, tetapi juga lokasi pertemuan budaya yang saling berinteraksi dengan harmoni.
“Justeru, Temu Pasor 2025 memberi fokus kepada pembinaan komuniti melibatkan tiga acara utama iaitu teater – melalui Zombi Serang Pasor, zine (Ipoh International Zine Fest); dan bacaan puisi (Tiba-tiba, Puisi!).
“Setiap acara ini memiliki kekuatan masing-masing, dengan tema dan tujuan utama untuk menyemarakkan lagi komuniti seni dan cipta di Pasar Besar Ipoh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas tiga acara utama program, Herinza berkata, persembahan teater Zombi Serang Pasor adalah salah satu daripada francais teater pop interaktif dan projek pembangunan komuniti karya dan arahan Cech Adrea yang menceritakan tentang sebuah keadaan serangan zombi.
“Ramai manusia yang akan terperangkap dan perlu mencari tempat persembunyian. Francais teater interaktif separa naturalisme ini sering kali mendapat pujian dengan serangan itu disesuaikan mengikut tempat, budaya, bahasa serta komuniti yang berada di lokasi pilihan teater tersebut.
“Para penonton juga akan dilibatkan secara dengan pementasan teater.
“Selain itu, beberapa siri bengkel teater dan pembinaan keyakinan diri juga akan dilaksanakan dengan kerjasama pelajar-pelajar Kelab Teater Kolej Vokasional Lebuh Cator,” katanya.
Selain itu, Herinza menambah, Ipoh International Zine Fest pula merupakan kesinambungan Ipoh Mini Zine Fest 2023 yang menjadi medium ekspresi seni yang mula menjadi trend dalam kalangan penggiat seni baru dan lama.
Acara itu, katanya, berupaya menjadi dokumentasi budaya serta memperkenalkan seni-seni baru kepada peminatnya.
Kata Herinza lagi, beberapa panel jemputan luar negara yang aktif membuat zine di pasar masing-masing juga akan dibawa untuk berkongsi pengalaman mereka.
Antaranya ialah Kia dan Dinda dari Berkawan Sekebun (Indonesia), Mariah Reodica (Filipina) dan Ruang Kaeokamechun (Thailand).
Selain itu, jemputan tempatan yang terkenal dengan hasil seni mereka seperti Sharon Chin, artis seni persembahan dan seni cetak serta Zedeck Siew, artis seni cetak dan penulisan dari Port Dickson, bersama Zine dari Johor yang turut akan berkongsi perkembangan kegiatan seni di Johor.
Tidak ketinggalan, Amirul Hakim Jamil dari Pasar Awam Kluang yang semakin rancak dengan rancangan placemaking dan menghidupkan kembali pasar tersebut.
“Bagi acara Tiba-tiba, Puisi! merupakan secara spontan di beberapa lokasi terpilih dalam Pasar Besar Ipoh, seperti bahagian jualan sayur dan ikan, bahagian buah-buahan, bunga dan bingkai, dan medan selera.
“Dengan kehadiran pemuisi muda di Ipoh beberapa tahun kebelakangan ini, puisi dengan citra Ipoh semakin mekar, dan berjaya mengangkat nama Ipoh di luar negeri dan juga negara,” katanya lagi.