Televisyen Kini Berusia 100 Tahun – Adakah Masih Relevan?
Effi Saharudin
Sama ada anda sedar ataupun tidak, semalam 26 Januari 2026 ialah ulang tahun ke-100 John Logie Baird, a memperlihatkan siaran televisyen pertama kepada dunia menggunakan isyarat radio kepada 40 ahli Royal Institution dan seorang wartawan The Times. Bermula dengan imej kabur mengandungi 30 garisan dan kadar bingkai 5FPS, TV moden kini boleh memaparkan kandungan 8K UHD dan kadar bangkai melangkaui 120FPS.

Tetapi selepas 100 tahun, adakah TV masih lagi relevan dalam dunia dimana telefon digunakan hampir 71% populasi bumi? Jawapan pendek saya ialah ia masih relevan tetapi dalam masa satu generasi lagi ia akan menyertai telefon talian dan pemain DVD memasuki senarai peranti yang tidak lagi wujud di dalam rumah.
Kepupusan Yang Tidak Boleh Dihalang
Mari lihat dapat pengeluaran TV dan telefon pintar dari tahun 2014 hingga 2025. Jelas jualan telefon pintar akan enam kali ganda daripada TV. Ini adalah statistik menakjubkan apabila anda mengambil kira harga jualan telefon pintar secara purata adalah lebih mahal berbanding sebuah TV pintar. Semalam saya ke Seng Heng dan harga jualan sebuah TV LED 4K 65″ adalah serendah RM1400. Harga telefon kelas pertengahan seperti Oppo Reno15 F yang baru dilancarkan bermula RM1499 dengan ia hanya dilengkapi skrin 6.57″.

Pengeluaran telefon pintar 2025 meningkat 2% tahun lalu berbanding 2024 ketimbang pengeluaran TV pintar diramalkan susut 3% dalam tempoh yang sama. Telefon semakin popular dan sebaliknya pula dengan TV.
Masa depan TV dilihat semakin gelap apabila anda turut melihat nasib stesen televisyen seluruh dunia. Di Malaysia ASTRO dan Media Prima masing-masing menunjukkan pengurangan pendapatan yang drastik. Jumlah pelanggan serta pengiklanan jatuh mendadak disebabkan perhatian pengguna kini dicuri oleh telefon pintar. Jika dahulu iklan ditonton di TV, kini ia di IG dan YouTube hampir sepanjang masa kerana pempengaruh bertubi-tubi menjual barang ditaja tanpa perlu menanti commercial break.
Kandungan Linear vs Penstriman
Izinkan saya bertanya soalan kepada anda. Bila kali terakhir anda menonton TV secara langsung dan bila kali terakhir akan menonton kandungan TV pada waktu serta hari tertentu? Kali terakhir bagi saya ialah semasa siaran langsung pengebumian Tun Abdullah Badawi tahun lalu. Siri terakhir yang ditonton mengikut hari serta waktu tertentu pula mungkin semasa era Mythbusters masih lagi di Discovery Channel.

Saya mempunyai firasat jawapan saya mungkin sama dengan anda. Siapa ada masa untuk menonton TV pada waktu tertentu sahaja. Dalam dunia penstriman, kita menonton bila ada rasa dan masa sahaja menjadikan format TV linear menjadi tidak selari dengan trend semasa. Saya juga berani bertaruh anda lebih banyak menstrim Shopee, TikTok atau Instagram secara langsung berbanding TV sejak tiga tahun kebelakangan ini.
Skrin Sekunder dan Penonton Sifar Tahap Perhatian
Netflix menyedari musuh mereka kini ialah video menegak format pendek dan podsiar. Dalam kemas kini aplikasi telefon pintar tahun ini, lebih banyak video menegak dan podsiar akan dihidangkan kepada pelanggan menerusi antaramuka baharu. Sementara menanti ini berlaku, kandungan Netflix sudahpun diubah untuk generasi “skrin sekunder”. Ini ialah fenomena baharu dimana penonton masih menggunakan telefon walaupun kandungan Netflix sedang distrim.
Adalah lucu melihat Quibi yang dilabel platform gagal kerana kandungan video menegak pendek yang mereka pelopori dianggap idea bodoh lima tahun lalu. Hakikatnya jika Quibi dilancarkan tahun 2025, ia mungkin akan menjadi platform hangat kerana ciri video berubah ke landskap atau potret secara automatik di telefon serta populariti siri TV pendek popular sekarang.

TV bukan lagi skrin primari untuk generasi skrin sekunder. Seperti semua benda sekunder di rumah anda sekarang, lama kelamaan ia hanya kan mengumpul habuk. Apabila dilupakan, ia tidak lagi digunakan. Jika akhirnya, tiada ganti akan dibeli
Evolusi Seterusnya
Saya meramalkan TV masa hadapan akan berubah bentuk dan juga definisi. Saya dapat melihat masa depan TV besar di ruang tamu digantikan oleh cermin mata pintar dengan teknologi XR. TV maya dengan saiz 200″ akan dapat ditonton terus menggunakan cermin mata pintar moden.

TV fizikal pula tidak lagi akan dijual dalam bentuk landskap. TV masa hadapan semuanya menegak seperti Samsung Sero yang ditawarkan di Malaysia lima tahun lalu. Video menegak akan menjadi semakin dominan (sekarangpun mungkin boleh dikatakan video menegak sudah dominan) dan norma harian. Jangan ketawa kerana sedekad lalu apabila TV 16:9 dijual, ada yang mengatakan tiada pasaran untuk TV dengan nisbah sinematik. Samsung Sero ialah seperti Quibi yang hadir lebih awal sebelum pasaran sedia untuk menerimanya.

Sebagai kesimpulan selamat ulang tahun ke-100 untuk televisyen. Tetapi tidak ada produk yang benar-benar akan kekal relevan selamanya. Nokia, Blockbuster, Borders, Toys R Us, MySpace dan Blackberry semuanya pupus kerana tidak lagi diperlukan masyarakat. TV hanya akan berubah ke bentuk baharu sama seperti PC, kamera, telefon, iPod dan pelayar web digabungkan menjadi iPhone oleh Steve Jobs lebih 19 tahun yang lalu.






