Telefon Gaming – Masihkah Ada Ruang Atau Tamatnya Era Gemilang?
Amy Maizuraa
Di zaman teknologi yang semakin maju, telefon pintar gaming dahulu memang dianggap sebagai ‘raja prestasi’. Peranti ini hadir dengan cip pemprosesan yang berkuasa, sistem penyejukan yang canggih, dan reka bentuk yang futuristik. Namun, apabila kita berada di tahun 2026, timbul persoalan sama ada telefon pintar sebegini masih relevan ataupun sudah mula tersisih oleh telefon pintar biasa yang semakin berkuasa untuk pelbagai kegunaan.

Pengguna hari ini lebih bijak dalam membuat pilihan. Mereka menilai apa yang benar-benar diperlukan daripada sebuah telefon pintar. Ada yang melihat telefon gaming sebagai produk khusus untuk segelintir peminat tegar, manakala kebanyakan pengguna lebih cenderung memilih telefon pintar biasa yang masih mampu memainkan permainan popular tanpa sebarang masalah. Isu ini menjadi semakin hangat apabila ada jenama telefon gaming yang mula menarik diri daripada segmen tersebut. Perkembangan ini menimbulkan perdebatan tentang masa depan telefon pintar gaming dan kedudukannya dalam dunia teknologi global.

Jika kita menoleh ke belakang, era telefon pintar gaming moden lazimnya dikaitkan dengan kemunculan Razer Phone pada bulan November 2017. Sebelum itu, tidak wujud kategori khusus untuk telefon pintar gaming. Telefon mercu seperti Samsung Galaxy atau iPhone sudah cukup berkuasa untuk permainan, tetapi tidak dipasarkan secara khusus kepada golongan pemain. Kemunculan Razer Phone seolah-olah membuka jalan baharu namun kini keadaan kelihatan seperti kembali kepada asas. Mungkin telefon pintar biasa sudah memadai untuk kebanyakan orang.

Debat tentang ini masih berlaku tetapi masih menjadi sebahagian dari perjalanan teknologi yang menarik untuk diikuti. Saya juga ingat era cubaan awal salah satu produk seperti Sony Xperia Play yang diumumkan pada tahun 2011. Ia dilengkapi dengan pengawal fizikal dan dibuat dalam bentuk boleh ditolak ke atas. Ini adalah kombinasi antara telefon pintar dan konsol permainan mudah alih yang dibuat oleh Sony Ericsson. Namun, peranti ini lebih bersifat eksperimen dan tidak menciptakan ‘trend’ besar dalam dunia telefon pintar.

Selepas kemunculan Razer Phone, barulah banyak jenama lain mula masuk ke segmen ini, antaranya ASUS ROG Phone (2018), Black Shark dan Nubia RedMagic (2018). Dari situ, telefon pintar gaming berkembang sebagai satu segmen ‘niche’ tetapi masih mempunyai pengaruh. Banyak ciri baharu diperkenalkan melalui peranti ini, dan antara yang paling ketara ialah skrin dengan kadar segar semula yang tinggi.
Ciri tersebut kemudiannya menjadi standard dalam telefon pintar biasa masa kini. Inilah mungkin sebab yang membuatkan segmen telefon gaming masih relevan walaupun tidak semua orang berminat. Namun, beberapa jenama telefon pintar gaming mula menarik diri kerana persaingan terlalu ketat dan pasaran penuh dengan pilihan. Dengan erti kata lain, mereka perlu berusaha lebih keras untuk kekal bersaing.

Sebagai contoh, ASUS baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka tidak lagi menghasilkan telefon pintar. Kini, syarikat tersebut lebih menumpukan perhatian kepada pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI). Ini bermakna era ROG mungkin sudah berakhir, dan kita tidak lagi berpeluang melihat model baharu daripada mereka. Begitu juga dengan siri Zenfone yang turut ditamatkan, meskipun tidak sepenuhnya berorientasikan gaming. Apa yang menjadikan Zenfone istimewa adalah komuniti penggunanya yang kuat.

Saya sendiri pernah menjadi sebahagian daripada komuniti itu. Ketika masih belajar, saya menggunakan Zenfone 5 sebagai telefon pintar pertama jenis skrin sentuh yang saya beli dengan duit sendiri. Rasanya seperti satu pencapaian besar, yang bukan sekadar memiliki telefon tetapi juga simbol kepada sesuatu dalam hidup saya. Kalau diimbas kembali, telefon itu memang hebat untuk zamannya, terasa “tiptop”. Walaupun jika dibandingkan dengan telefon pintar terkini tentu jauh berbeza, pengalaman itu tetap membawa nostalgia.

Kini suasana pasaran telefon pintar sudah banyak berubah. Jenama besar juga terpaksa membuat keputusan yang sukar. Tamatnya era Zenfone membawa rasa sentimental kepada pengguna. Dahulu, setiap telefon baharu terasa seperti lonjakan teknologi yang besar, tetapi hari ini peningkatan lebih kepada penambahbaikan kecil sahaja. Mungkin pandangan saya kedengaran terlalu menghukum, tetapi begitulah hakikat yang saya rasakan.

Kalau saya boleh menyentuh tentang ASUS sebenarnya mereka tidak terlalu menumpukan kepada telefon pintar. Fokus utama syarikat ini lebih kepada perkakasan komputer dan komputer riba. Penawaran yang diberikan pula cukup berkuasa mengikut kelas masing-masing, dan masih ada pengguna setia yang terus membelinya. Dari segi perkhidmatan selepas jualan juga boleh dikatakan memuaskan, terutamanya jika dibandingkan dengan beberapa jenama dari China yang cuba memasuki segmen ini.

Pencabar sebenar ASUS pula datang daripada jenama besar lain yang berada dalam niche yang sama. Jika kita perhatikan, produk ASUS handheld turut mendapat sambutan yang baik. Harapan saya, mereka dapat konsisten memberikan peningkatan pada produk ini pada masa akan datang, lebih-lebih lagi kerana mereka sudah mempunyai komuniti pengguna yang tersendiri.
Baiklah, berbalik kepada persoalan asal, jawapan sebenarnya bergantung kepada syarat. Telefon pintar gaming masih mempunyai peminat, khususnya mereka yang sanggup membayar lebih untuk mendapatkan prestasi mantap. Selain itu, terdapat juga pengguna yang mahu merasai pengalaman seakan-akan menggunakan konsol dalam genggaman.

Namun, realitinya majoriti pengguna masih melihat telefon pintar sebagai alat serba guna. Dengan kata lain, asalkan ia boleh digunakan untuk beberapa keperluan seperti kerja, media sosial, permainan ringan dan hiburan, itu sudah memadai bagi kebanyakan orang. Lebih-lebih lagi dalam era moden ini, telefon pintar biasa juga sudah cukup berkuasa dan mampu digunakan untuk tujuan gaming tanpa masalah besar. Keadaan ini seakan-akan meletakkan telefon pintar gaming sebagai pilihan tambahan atau sekadar memenuhi rasa ingin memiliki sesuatu yang eksklusif (FOMO), bukannya satu keperluan mutlak.
Meskipun begitu, saya perlu menegaskan bahawa keputusan untuk membeli sesebuah peranti tetap bergantung kepada tujuan pengguna itu sendiri. Malah, ada dua perkara penting yang biasanya menjadi pertimbangan utama, iaitu apa yang mereka mahukan daripada sesebuah peranti dan bagaimana ia boleh memenuhi keperluan harian mereka. Seperti yang pernah dikatakan oleh ketua kandungan saya di dalam artikel terkini beliau di mana telefon terbaik itu sebenarnya tidak wujud. Yang ada hanyalah telefon yang sesuai dengan keperluan dan gaya hidup setiap pengguna.






