Malaysia Oversight

Tei buat laporan polis, hantar surat guaman kepada portal

By MkiniBM in July 15, 2025 – Reading time 2 minute
Tei buat laporan polis, hantar surat guaman kepada portal


Ahli perniagaan Albert Tei, yang juga pemberi maklumat berhubung skandal perlombongan di Sabah, membuat laporan polis terhadap sebuah portal yang didakwanya menerbitkan tuduhan palsu dan berunsur fitnah terhadapnya.

Peguamnya, Mahajoth Singh berkata Tei telah dimaklumkan bahawa laporan tersebut akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut secara segera.

“Selain itu, atas arahan anak guam saya, pejabat saya juga telah mengeluarkan surat kepada pengendali portal tersebut bagi meminta alamat untuk menyerahkan kertas kausa berkaitan prosiding fitnah.

“Jika mereka ingin menerima serahan secara elektronik, kami telah meminta mereka untuk mengesahkannya,” katanya dalam kenyataan.

Mahajoth juga menegaskan bahawa semua dakwaan yang dibuat terhadap anak guamnya adalah “palsu sepenuhnya, tidak berasas, dan bertujuan mencemarkan reputasinya”.

“Anak guam saya mengekalkan semua haknya di bawah undang-undang dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang selanjutnya jika perlu,” katanya lagi.

Malaysiakini difahamkan yang portal berkenaan adalah pihak sama yang menerbitkan artikel mengaitkan seorang taikun Singapura dengan Tei, yang mendorong SPRM memulakan siasatan.

Southern Alliance Mining Ltd kemudian menafikan dakwaan yang mengaitkan pengarah urusannya, Pek Kok Sam, dengan skandal tersebut.

Pek berkata Southern Alliance Mining Ltd dan anak-anak syarikatnya telah mengeluarkan surat tuntutan kepada Malaysia Corporate, laman yang menyiarkan dakwaan mengaitkan dirinya dengan skandal berkenaan.

Pada 30 Jun lalu, Tei telah dihadapkan dengan tuduhan memberi rasuah kepada Timbalan Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan Sabah, Andi Suryady Bandy Sindumin, Yusof Yacob, bagi mendapatkan bantuan berkaitan lesen penerokaan mineral di negeri itu.

Andi pula didakwa menerima wang tunai berjumlah RM150,000 daripada Tei sebagai balasan membantu permohonan lesen penerokaan bagi Syarikat Sinaran Hayat Sdn Bhd.

Yusof juga didakwa menerima wang tunai RM200,000 daripada Tei, dikatakan untuk membantu memproses permohonan lesen penerokaan bagi Syarikat Nusa Kini Sdn Bhd.

Ketiga-tiganya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.



Source link