Ahli perniagaan dan pembocor maklumat, Albert Tei, hari ini mengalu-alukan sebarang tindakan undang-undang ke atasnya jika ada sebarang keraguan berhubung kesahihan bukti yang didedahkan.
Peguam Tei, Mahajoth Singh, merujuk kepada dakwaan yang dikaitkan dengan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Moh Akin, dia berkata, setakat ini belum ada sebarang penafian dibuat.
“Dalam isu yang seberat ini, berdiam diri adalah lebih lantang berbanding spekulasi,” katanya dalam kenyataan petang ini.
Dia turut mengingatkan, walaupun Anwar secara terbuka menyatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas memulakan siasatan segera “tanpa campur tangan luar” – dan kemudian agensi antirasuah itu mengesahkan akan menyiasat, “menghairankan” apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng pula menyatakan “tiada wang diambil” dan bukti itu “direka” atau “tidak berasas”.
“Kesimpulan sapu rata sebegini bukan saja tidak berasaskan, malah ia secara langsung bercanggah dengan pendirian bahawa pihak berkuasa mesti menyiasat mengikut undang-undang.
“Bagaimana ada pihak boleh secara bertanggungjawab menyatakan tiada salah laku atau bukti itu palsu sedangkan siasatan pun belum bermula dan individu terlibat belum pun menafikan dakwaan?
“Naratif politik yang bercanggah ini menimbulkan persoalan asas – jika siasatan kononnya mahu dijalankan ‘tanpa campur tangan’, mengapa menteri dan ahli parlimen sudah bertindak seperti hakim, juri dan jurucakap kepada yang dituduh?” tambahnya.
Semalam Malaysiakini melaporkan yang Tei mendakwa dia membelanjakan lebih RM600,000 untuk Shamsul Iskandar selepas diyakinkan pegawai yang dekat dengan Anwar Ibrahim itu akan membantunya mendapatkan semula dana yang diberi kepada ahli politik Sabah.
Patut tuntut siasatan menyeluruh
Tei juga mendakwa Anwar tahu rancangannya merakam secara rahsia perbualan dengan ahli politik Sabah berhubung kegiatan mencari gali mineral di negeri tersebut.
Tidak lama selepas Malaysiakini menghubungi Shamsul Iskandar untuk mendapatkan reaksinya terhadap dakwaan Tei, bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu mengumumkan di X bahawa dia telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai setiausaha politik kanan Anwar.
Dia juga berikrar untuk mempertahankan diri daripada dakwaan yang tidak diperincikan itu.
Hari ini Anwar menegaskan SPRM bebas menjalankan siasatan terhadap sebarang dakwaan yang timbul terkait Shamsul Iskandar dan ia bebas daripada sebarang campur tangan luar.
Anwar juga berkata kerajaan berpegang teguh pada prinsip ketelusan dan integriti, justeru dia memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang.

Sebelum ini Tei dikenali sebagai pembocor maklumat terkait sejumlah ahli politik Sabah yang didakwa terlibat dengan rasuah. Dia juga sudah didakwa di mahkamah bersama dua Adun negeri berkenaan.
Pengerusi GRS merangkap ketua menteri sementara Sabah, Hajiji Noor, sebelum ini menuduh Tei sebagai sebahagian daripada kartel yang mahu memonopoli perlombongan di negeri itu.
Malaysiakini pagi tadi juga melaporkan bahawa Nga mengaitkan peletakan jawatan Shamsul Iskandar dengan isu surat sokongan yang ditulis dan dikeluarkannya pada tahun lalu, bukannya berkaitan rasuah.
Lim pula menganggap video yang mengaitkan Anwar dengan skandal berkenaan sebagai “klip yang diubah suai” dengan “dakwaan kabur” yang tidak boleh dianggap sebagai bukti.
Mahajoth berkata pendirian yang tidak konsisten di pihak keranaan memberi gambaran bahawa mereka lebih cenderung melindungi pihak yang terpalit dengan dakwaan rasuah berbanding membenarkan siasatan bebas dijalankan.

“Anak guam saya menanggung risiko peribadi yang besar untuk mendedahkan bahan ini, dan usaha untuk menjejaskan kredibilitinya sebelum siasatan dijalankan menghantar isyarat yang menakutkan kepada saksi dan pemberi maklumat dalam kes rasuah.
“Tiada sistem yang komited kepada ketelusan patut membenarkan suasana individu yang tampil dengan bukti terus diserang, bukannya didengar.
“Sebagai ahli parlimen yang dipilih, respons yang wajar terhadap walau sekelumit bukti boleh dipercayai yang mengaitkan rasuah ialah menuntut siasatan menyeluruh demi kepentingan awam, bukan segera melindungi individu yang terpalit,” katanya.
Mahajoth juga berkata kesediaan sesetengah ahli politik untuk mempertahankan – bukannya meneliti – individu yang dikaitkan dengan isu itu menimbulkan persoalan besar tentang keutamaan dan kesetiaan mereka.
“Keadaan menjadi pelik apabila mereka yang diamanahkan menjaga kebertanggungjawaban kini bergegas melindungi individu yang berdepan dakwaan serius.
“Anak guam saya sentiasa memberi kerjasama kepada penyiasat, menyerahkan dokumen, dan kekal bersedia membantu sebarang siasatan yang benar-benar bebas dan berkecuali,” tambahnya.






