Malaysia Oversight

Tei adukan Hajiji ke PDRM isu dilarang masuk Sabah

By MkiniBM in October 6, 2025 – Reading time 2 minute
Tei adukan Hajiji ke PDRM isu dilarang masuk Sabah


Ahli perniagaan, Albert Tei membuat laporan polis terhadap Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor atas dakwaan mencampuri urusan kehakiman apabila menghalang dia memasuki negeri itu untuk menghadiri prosiding mahkamah.

Dalam laporan polis yang dilihat oleh Malaysiakini, Tei mendakwa Hajiji bertindak melampaui kuasanya sebagai ketua menteri apabila menafikan hak ahli perniagaan terbabit daripada hadir ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

“Sekiranya saya tidak dapat masuk ke Sabah serta tidak dapat hadir ke mahkamah, bermakna siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terganggu dan proses pendakwaan oleh Jabatan Peguam Negara terhadap lebih sedozen dan Speaker DUN yang terlibat dalam skandal rasuah lesen perlombongan akan dihentikan serta ditutup secara terpaksa.

“Akhirnya semua orang besar atau VVIP yang terlibat dalam kegiatan rasuah akan bebas daripada tindakan undang-undang. Tiada seorang pun VVIP akan dihukum di bawah kesalahan rasuah,” katanya.

Laporan polis itu dibuat pada jam 1.34 petang hari ini di Balai Polis Bandar Kinrara, .

Pada 3 Okt lalu, Tei memulakan tindakan undang-undang terhadap Hajiji bagi menuntut penjelasan berhubung larangan ke atasnya untuk masuk ke Sabah.

Tei – yang menjadi pemberi maklumat berhubung skandal perlombongan di Sabah – dihalang oleh pihak imigresen sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 22 Sept lalu.

Dia ke Sabah bagi menghadiri sebutan kes rasuahnya di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu sehari kemudian.

Menurut peguam Tei, Mahajoth Singh, ahli perniagaan berkenaan diberitahu oleh seorang pegawai imigresen yang dikenali sebagai “Puan Mimie” bahawa dia tidak boleh masuk ke Sabah ekoran “sekatan daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah”.

Dia kemudian dibenarkan oleh pihak imigresen untuk masuk namun didakwa hanya untuk tempoh dua hari iaitu bagi tujuan menghadiri prosiding mahkamah tersebut.

Mengulas lanjut, Tei mendakwa Hajiji juga telah menyalahgunakan kuasanya dalam mengeluarkan larangan tersebut.

“Tujuan saya membuat laporan polis ini untuk menggesa pihak polis segera menjalankan siasatan terhadap Hajiji berhubung pelbagai tuduhan salah laku terhadapnya yang bersifat kesalahan jenayah,” katanya.

Menurut Tei, tindakan Hajiji itu juga mengeksploitasi hak Tei sebagai defendan untuk membela diri dan menuntut keadilan di mahkamah sekali gus menafikan hak asasinya

Tei sebelum ini telah mendedahkan dakwaan skandal perlombongan melibatkan pemimpin gabungan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai Hajiji.

Pada 30 Jun lalu, Tei didakwa bersama Sindumin, Yusof Yacob, dan Tanjung Batu, Andi Suryady Bandy, di Mahkamah Rasuah berhubung bayaran tunai yang didakwa berkaitan permohonan lesen melombong mineral.

Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah.

Menurut kertas pertuduhan, Yusof didakwa menerima wang tunai RM200,000 daripada Tei di sebuah hotel di Kota Kinabalu pada 6 Mac 2023, manakala Andi dituduh menerima RM150,000 tunai daripada Tei pada 12 Mei 2023 di luar kediamannya.

Tei didakwa menawarkan rasuah kepada kedua-dua Adun terbabit di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

[Baca berita asal]



Source link