PAU 2025 | Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menyifatkan penyertaan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan sebagai satu keperluan strategik bagi memastikan kestabilan negara terus terpelihara.
Menurutnya, keputusan Umno untuk kekal berada dalam kerajaan bukan dibuat berasaskan emosi, sebaliknya berpaksikan tanggungjawab sebagai parti pemerintah yang berpengalaman.
Mohamad mengibaratkan Umno sebagai “sauh” yang berfungsi menghalang “kapal negara” daripada karam dalam suasana politik yang tidak menentu.
“Kita masuk kabinet untuk bina kestabilan. Kita adalah sauh yang memastikan kapal negara tidak karam. Itu jasa kita kepada rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Umno sayap Pemuda, Wanita dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam ini.
Dia berkata, mentadbir negara bukan sekadar soal merebut kuasa, sebaliknya memerlukan keupayaan membaca dan memahami keperluan Malaysia secara cermat supaya manfaat dapat dinikmati generasi hari ini tanpa menjejaskan masa depan.
Dalam konteks peranan Umno dalam kerajaan, Mohamad menegaskan parti itu kini berfungsi sebagai kuasa pertengahan dan pengimbang, selain bertindak sebagai parti politik yang bertanggungjawab.
Pada masa sama, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mengingatkan ahli parti supaya tidak membuat keputusan berdasarkan kemarahan semata-mata, sebaliknya menggabungkan keberanian dengan strategi serta rasa tanggungjawab.
“Adakah kita mahu keluar kerajaan esok dan biarkan negara huru-hara? Tidak. Itu jalan mereka yang tunduk kepada emosi, bukan kerja negarawan,” katanya sambil menekankan keperluan berfikir panjang dalam menentukan hala tuju parti.
Garisan merah
Mengulas kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan, dia menegaskan penyertaan Umno tidak bermakna parti itu sanggup berkompromi terhadap prinsip asasnya.
Mohamad turut menekankan “garis merah”, melibatkan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.
“Saya memperingatkan rakan-rakan di dalam Kerajaan Perpaduan: Jangan sangka kerana kita berada dalam satu kabinet, Umno sudah tumpul taringnya.
“Jangan sangka kerana kita mahu kestabilan politik, kita akan pejam mata bila asas negara diganggu gugat. Umno tidak akan diam membisu,” katanya.
Dalam pada itu Mohamad menegaskan Umno bersedia bekerjasama demi kepentingan rakyat dan negara, namun akan bangkit menentang sesiapa sahaja, sama ada kawan atau lawan, yang cuba mencabar tiga teras utama tersebut.
Bagi menepis persepsi bahawa Umno sekadar mengikut telunjuk rakan gabungan, Mohamad menegaskan parti itu berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang yang berkesan dari dalam kerajaan.
“Dengar sini baik-baik. Jangan siapa-siapa ingat Umno ini ‘melukut di tepi gantang’.
“Umno adalah penyemak imbang (check and balance) yang paling efektif dari dalam kerajaan.
“Walaupun kerusi kita tidak banyak, suara kita di Kabinet adalah suara penentu,” katanya.
Tambahnya, Umno sentiasa memastikan tiada dasar melampau atau yang merugikan orang Melayu diluluskan tanpa tentangan.






