Malaysia Oversight

Tarik subsidi saat rakyat nazak tindakan bacul, kata Pemuda PAS

By MkiniBM in May 28, 2025 – Reading time 3 minute
malaysiakini logo


Dewan Pemuda Terengganu menyifatkan keputusan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 pada separuh kedua tahun ini sebagai langkah yang tidak berperikemanusiaan, tidak bertanggungjawab dan “bacul” ketika rakyat sedang berdepan tekanan ekonomi yang mencengkam.

Ketua Pemuda Kuala Terengganu, Mohd Harun Esa berkata rakyat tidak sepatutnya menjadi mangsa kepada dasar ekonomi yang longgar dan keputusan fiskal yang menindas.

“Ini bukan masa untuk eksperimen fiskal. Rakyat sudah cukup tertekan. Harga barang naik, peluang pekerjaan sempit, gaji tak bergerak. Tiba-tiba mahu tarik subsidi minyak?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Madani apa kalau rakyat merana?

Menurutnya, sepatutnya memikirkan cara untuk mengurangkan beban rakyat, dan bukannya menambah kesusahan sedia ada.

“Menarik subsidi ketika rakyat sedang bergelut adalah tindakan yang bacul dan tidak bertanggungjawab.

“Di mana nilai ‘madani’ yang dilaungkan jika rakyat terus dihimpit tanpa belas kasihan?” soalnya.

Isnin lalu, Menteri Kewangan Kedua Amir Hamzah Azizan berkata rasionalisasi subsidi RON95 akan dilaksanakan pada separuh kedua 2025, dengan fokus kini tertumpu kepada perbincangan bagi memastikan golongan yang akan menerima sokongan subsidi dikenal pasti dengan tepat.

56c190c501e3946f2b0c46b548c5776d
Amir Hamzah Azizan

Mengulas lanjut, Harun menegaskan bahawa kesan domino daripada kenaikan harga petrol bukan perkara remeh. Menurutnya, kos pengangkutan akan meningkat serta-merta dan akan memacu kenaikan harga barangan asas dalam rantaian ekonomi.

“Akibatnya, orang muda yang baru mula bina hidup akan paling terasa – mereka yang bergaji rendah, bayar sewa rumah, hadap hutang pendidikan.

“Sekarang, mereka juga kena bersedia hadap kos makanan dan keperluan harian yang mencanak,” katanya.

Rakyat terhimpit, menteri pula mewah

Dalam kenyataan sama, dia turut mengingatkan tentang janji-janji pemimpin kerajaan sekarang semasa kempen pilihan raya lalu.

7ec658aa131f6603f6e9fc9c9e7a6cc5

“Mereka kata harga minyak akan turun jika mereka ambil alih . Tapi sekarang, bukan saja tak turun – malah rakyat pula diminta bersedia bayar lebih.

“Ini bukan sekadar gagal, ini pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat,” katanya.

Pemuda juga mempertikaikan pelaksanaan subsidi bersasar yang digembar-gemburkan kerajaan. Katanya, sistem itu sehingga kini masih kabur, tempang dan tiada ketelusan dalam pelaksanaannya.

“Rakyat hanya dengar alasan demi alasan. Apa pelan kerajaan untuk lindungi pengguna biasa? Apa jaminan harga barang tak naik? Setakat ini, semua masih samar,” katanya.

Menurut Harun, yang nyata ialah rakyat akan menanggung kos lebih tinggi, sementara golongan atasan dan menteri masih menikmati elaun, kemudahan dan layanan kelas pertama.

6ef0acdb1f5fe19a5e3c647ae1090970

“Bila rakyat diminta berjimat dan berkorban, menteri masih bermewah. Inikah keadilan ekonomi yang dijanjikan?” katanya.

Dia juga menegaskan bahawa langkah menarik subsidi minyak ketika ekonomi rakyat berada dalam keadaan parah hanya akan menambahkan kemarahan rakyat.

Jika tak mampu bantu, letak jawatan

Katanya, bantuan bersifat ‘one-off’ seperti yang ditawarkan sebelum ini tidak mencukupi dan tidak menyelesaikan masalah struktur yang lebih besar.

“Rakyat perlukan penyelesaian jangka panjang, bukan gula-gula sementara. Kita perlukan dasar ekonomi yang benar-benar berpihak kepada rakyat, bukan sekadar angka atas kertas,” katanya.

Harun menggesa kerajaan supaya menarik balik cadangan rasionalisasi itu dan tampil dengan pelan ekonomi yang lebih berhemah dan adil.

f94f48efac9dd54e2eb2e71b135d4494

“Kami mendesak kerajaan hentikan niat ini segera. Jika mereka gagal cari jalan yang lebih adil, lebih baik serahkan mandat kepada pihak yang lebih amanah dan memahami denyut nadi rakyat,” katanya.

Dia turut mengingatkan bahawa sentimen rakyat terhadap isu kos sara hidup semakin meruncing, dan langkah tidak popular seperti ini hanya akan menghakis sokongan terhadap kerajaan sedia ada.

“Jangan cabar kesabaran rakyat. Jangan uji tahap kesengsaraan mereka. Ini soal makan minum dan kelangsungan hidup,” katanya.

Pemuda PAS, katanya, akan terus menyuarakan isu rakyat dan tidak akan berdiam diri jika kerajaan terus membuat keputusan yang menindas golongan marhaen.



Source link