Malaysia Oversight

Tang Jie-Ee Wei masih retak bila diasak

By Utusan in August 5, 2025 – Reading time 2 minute
Tang Jie-Ee Wei masih retak bila diasak


KUALA LUMPUR: Harapan untuk melihat gandingan campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tampil sebagai pasangan yang benar-benar ampuh masih jauh daripada sasaran apabila terus dihantui isu emosi dan kegagalan menerima kesilapan sendiri ketika berada di gelanggang.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky secara terbuka mendedahkan bahawa kelemahan paling ketara pasangan No. 3 dunia itu ialah ketidakmampuan mereka mengawal permainan apabila diasak hebat lawan.

“Kalau dapat mata mudah, permainan mereka hidup. Akan tetapi apabila mula ditekan, terus panik. Bukan soal komunikasi, tapi soal emosi dan penerimaan kesilapan yang masih belum kukuh,” kata Rexy ketika ditemui di ABM, Bukit Kiara, semalam.

Menurut Rexy, isu ini bukanlah berkait soal teknikal atau kemahiran semata-mata, sebaliknya lebih kepada ketahanan mental serta hubungan dalaman yang rapuh dalam kalangan pemain.

Kekalahan kepada gandingan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje di separuh akhir Terbuka Macau minggu lalu menjadi bukti nyata apabila Tang Jie-Ee Wei gagal mengekalkan momentum selepas menang set pertama dan tewas 21-15, 17-21, 11-21 dalam tempoh 54 minit.

Apa yang membimbangkan, kegagalan mereka bukan terhenti kepada aspek prestasi semasa tetapi turut membayangkan hubungan yang belum sepenuhnya stabil, lebih-lebih lagi selepas melalui episod pemisahan sementara pada Mei lalu.

Menyorot situasi itu, Rexy turut membandingkan mereka dengan pasangan beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah yang pernah melalui fasa sama tetapi berjaya mengatasi segala konflik tanpa perlu dipecahkan.

“Dulu Pearly pun sukar terima ‘unforced error’ daripada Thinaah. Tapi sekarang mereka sudah matang dan saling menerima kelemahan masing-masing. Itu yang saya harap dapat dilihat pada Tang Jie dan Ee Wei,” katanya.

Ujarnya lagi, dalam situasi tekanan sebenar di kejohanan besar seperti Kejohanan Dunia hujung bulan ini, pasangan seharusnya menjadi tonggak sokongan antara satu sama lain, bukan membiarkan emosi dan rasa kecewa merosakkan peluang kemenangan.

“Kita bermain sebagai manusia, bukan robot yang boleh diprogram untuk sentiasa sempurna. Kesilapan itu perkara biasa, yang penting ialah bagaimana pasangan saling membantu untuk keluar dari tekanan,” tegasnya.-UTUSAN

 





Source link