ULASAN | Alhamdulillah saya berpeluang bercakap dengan salah seorang peguam keluarga arwah Zara Qairina Mahathir, namun demi menghormati proses siasatan, saya tidak akan berkongsi isi perbualan tersebut di sini.
Insya-Allah saya akan cuba bersikap profesional dalam isu seperti ini. Secara kebetulan peguam tersebut adalah rakan lama saya.
Menyambung perbincangan kegagalan pihak polis memastikan proses bedah siasat ke atas mayat arwah Zara Qairina sebelum proses pengebumian telah menimbulkan beberapa persoalan dan tindakan yang sepatutnya boleh dielak sejak dari awal.
Antara persoalan yang timbul ialah, mengapa bedah siasat itu tidak dilakukan? Kenapakah proses pengebumian itu kelihatan tergesa-gesa dan perlu disegerakan tanpa proses bedah siasat terlebih dahulu?
Apakah ada sesuatu yang ingin disembunyikan pada kematian tersebut?
Bagi saya persoalan di atas – suka atau tidak – adalah sesuatu yang amat wajar dan legit secara mutlak.
Selanjutnya, dengan ketiadaan proses bedah siasat yang lebih awal itu, beberapa tindakan yang sepatutnya boleh dielakkan sebaliknya kini terpaksa perlu dilakukan.
Boleh sebabkan penjenayah terlepas
Misalnya laporan polis tambahan pada 30 Julai lalu di Balai Polis Sipitang, permohonan agar kubur arwah digali semula (dan telah pun berlaku) bagi membolehkan bedah siasat dibuat, selain terpasa memanggil pakar dari Semenanjung Malaysia.
Dalam kes kematian tragis yang menimbulkan misteri dan persoalan sebegini, pihak yang begitu tertekan sudah tentu keluarga si mati kerana mereka tentu perlu kepada apa yang dipanggil a closure (pengakhiran) bagi memadamkan segala persoalan yang timbul.
Setakat ini nampaknya ia tidak seperti yang diharapkan. Hal ini tentu menimbulkan – atau menambah – tekanan yang tidak perlu kepada keluarga arwah.
Kini kita beralih pula kepada isu siasatan polis. Sebagai mantan peguam jenayah saya ingin mengatakan bahawa kes Zara Qairina ini ibarat contoh klasik tahap penyiasatan yang begitu lemah (a shoddy investigation) daripada pihak polis.
Berdasarkan pengalaman saya mengendalikan perbicaraan kes-kes jenayah di mahkamah, kelemahan penyiasatan sering menjadi bahan teguran para hakim kerana ia boleh membawa kepada kelemahan proses pendakwaan.

Apa yang lebih parah lagi ialah, kelemahan itu juga boleh mengakibatkan kemungkinan besar penjenayah sebenar terlepas begitu sahaja tanpa dapat dihukum. Harapan kita ialah keadaan itu tidak berlaku dalam kes Zara Qairina.
Diberitakan bahawa Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun, memaklumkan bahawa seramai 60 individu dipanggil memberi keterangan, termasuk tiga pelajar senior dikenali sebagai Kak Wana, Kak Dedeng dan Tomboi yang dikatakan turut dikaitkan dalam kes tersebut.
Penyiasatan polis yang cekap sudah tentu bukan sekadar pemanggilan saksi semata-mata, hatta 60 individu sekalipun, tetapi ia juga melibatkan pengumpulan bahan-bahan bukti yang material dan perlu.
Saya agak terkejut apabila membaca kenyataan peguam keluarga arwah di media yang menyatakan hatta pakaian Zara Qairina tidak diambil sedangkan bagi saya itu adalah bahan bukti yang amat material untuk tujuan forensik.
Tak boleh lari dari tanggungjawab
Dilaporkan juga di media bahawa wujud rakaman perbualan telefon di antara arwah Zara Qairina dengan ibunya. Melalui perbualan itu arwah dikatakan mengadu kepada ibunya mengenai beberapa orang pelajar senior di sekolah yang tidak berpuas hati dengannya.
Zara Qairina juga memetik nama seperti “Kak M” dan “Kak C”, serta mengatakan bahawa dia serta rakannya diganggu oleh mereka.
Apakah bentuk gangguan tersebut tidak dapat dipastikan.
Baca ULASAN | Kes arwah Zara memang penuh misteri
Saya tidak pasti adakah polis mengetahui tentang kewujudan rakaman berkenaan sejak awal? Jika ya, sudah tentu rakaman perbualan tersebut adalah bukti yang material dan wajar diambil oleh pihak berkuasa sebagai bahan bukti.
Jika ia tidak diambil sejak awal, timbul pula persoalan – mengapakah ia tidak diambil sejak awal?
Dan tidak juga dapat dipastikan adakah penyiasatan polis menunjukkan wujudnya insiden buli sebelum kematian arwah. Jika ada, apakah wujud sebarang tindakan daripada pihak sekolah? Misalnya bagi menyiasat insiden buli.
Sebaliknya jika tiada tindakan daripada pihak sekolah, mengapa?

Jika ditakdirkan memang ada insiden buli, sekurang-kurangnya siasatan awal sudah boleh menjustifikasikan pihak polis untuk menangkap dan menahan suspek dan mendapatkan perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Proses di atas nampaknya juga tidak berlaku. Mengapa atau apakah alasan maka ia tidak berlaku juga tidak dapat dikenal pasti.
Dari segi perundangan, jika buli dikatakan berlaku – fizikal atau bukan fizikal – pihak sekolah tidak boleh lari daripaa tanggungjawab berasaskan satu doktrin dalam perundangan yang dikenali sebagai vicarious liability.
Apa pun kini kita perlu menunggu sama ada inkues akan dibuat atau tidak.
Inkues ialah suatu proses perundangan yang diperuntukkan dalam Kanun Prosedur Jenayah apabila punca sesuatu kematian itu tidak dapat dikenal pasti.
Diberitakan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjanjikan ketelusan dalam isu ini. Mungkin proses yang perlu bagi merealisasikan janji dan hasrat perdana menteri tersebut ialah kewujudan Suruhanjaya Siasatan Diraja.
HANIPA MAIDIN ialah mantan timbalan menteri undang-undang.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.