Malaysia Oversight

Takrif ‘perhimpunan’ dinilai secara kontekstual

By MkiniBM in August 26, 2025 – Reading time 2 minute
Takrif 'perhimpunan' dinilai secara kontekstual


Penentuan apakah sesuatu aktiviti termasuk dalam maksud “perhimpunan” di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 perlu dinilai secara kontekstual, bergantung kepada tujuan, skala, lokasi dan impaknya terhadap ketenteraman awam.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata Seksyen 9(1) akta tersebut hanya terpakai kepada aktiviti yang memenuhi takrif “perhimpunan” seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 3 Akta yang sama, iaitu suatu perhimpunan yang disengajakan dan sementara di sesuatu tempat awam, sama ada diadakan di suatu tempat tertentu atau bergerak.

Dalam jawapan bertulis kepada William Leong (PH-Selayang), Saifuddin menjelaskan sesuatu aktiviti hanya dianggap sebagai perhimpunan sekiranya dilakukan secara terancang dan terbuka kepada penyertaan umum, elibatkan bilangan peserta yang signifikan, memberi kesan terhadap keselamatan orang awam, lalu lintas atau hak pengguna awam lain; dan mengandungi mesej simbolik, pernyataan pendirian atau unsur protes.

“Justeru, sekiranya sesuatu aktiviti tersebut dilaksanakan secara santai, tertib, dilaksanakan dalam kumpulan kecil tanpa memberi kesan kepada orang awam atau tidak mempunyai hasrat untuk membuat pernyataan awam, maka ia tidak tertakluk kepada keperluan pemberian notis di bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

Leong sebelum itu meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan berkenaan takrifan perhimpunan yang memerlukan notis di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Awam dan adakah aktiviti membaca buku di tempat awam oleh sekumpulan pelajar termasuk di dalam takrifan tersebut.

9e4dccb6801c98c807d76830f7db1a15

Pada 12 Mei lalu, Federasi Pemuda Kebangsaan (NYF) mengecam apa yang disifatkan sebagai intimidasi selepas pihak berkuasa didakwa mengganggu acara membaca buku dan diskusi mereka di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Ketika itu, kumpulan belia berkenaan mendakwa sepasukan pegawai polis dan kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menghampiri mereka dan menuntut supaya mendapatkan kebenaran polis untuk mengadakan aktiviti sebegitu di tempat awam.

Sejak sekian lama, kumpulan masyarakat sivil mengkritik Akta Perhimpunan Aman kerana dianggap kabur dan dikuatkuasakan secara terpilih, dengan aktivis pelajar khususnya sering menjadi sasaran apabila mengadakan perhimpunan yang dianggap bermotif politik.



Source link