PARLIMEN | Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata kertas siasatan berhubung kematian Zara Qairina Mahathir telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pagi tadi.
Bercakap di Dewan Rakyat, Saifuddin berkata, kertas siasatan terkini itu itu diserahkan berdasarkan dapatan pasukan petugas khas Bukit Aman yang telah mengambil alih siasatan kes pada minggu lalu.
Dia juga mengesahkan inkues kematian pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha itu akan dimulakan bulan depan.
Semasa perbahasan, Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) bangun untuk mempersoalkan mengapa inkues kematian Zara Qairina diadakan sebelum siasatan mengenai kes itu selesai.
Memetik pengalamannya sebagai majistret, Takiyuddin menganggap langkah yang diambil pihak berkuasa sebagai “terburu-buru” kerana biasanya sesuatu inkues diadakan hanya apabila bukti siasatan tidak mencukupi dan punca kematian tidak diketahui.
“Tapi sekarang ini Pengarah CID (Jabatan Siasatan Jenayah) kata inkues dilaksanakan serentak dengan siasatan.
“Bagaimana kalau dapatan atau verdict dalam inkues itu bercanggah dengan siasatan dibuat oleh pihak polis?
“Ini akan menimbulkan masalah… (sepatutnya) siasat habis dulu, (kalau) tak ada kesimpulan daripada siasatan itu, barulah rujuk (kepada inkues).
“Saya pernah jadi majistret, rujuk kepada majistret, majistret tengok bukti yang diberikan. Kalau dia rasakan perlu siasatan, baru dia adakan inkues.
“Tapi sekarang ni nampak macam terburu-buru di pihak AGC sendiri,” katanya.

Awal hari ini, Mahkamah Koroner menetapkan 3 Sept depan sebagai tarikh untuk memulakan prosiding inkues berhubung kematian Zara Qairina.
Inkues itu akan diadakan mulai 3 hingga 4 Sept, sebelum disambung pada 8 hingga 12 Sept, 17 hingga 19 Sept dan 22 hingga 30 Sept.
Terdahulu, pegawai pengendali Fairus Johari yang juga timbalan pendakwa raya berkata, AGC mengemukakan permohonan untuk menjalankan inkues itu semalam.
Dia berkata seramai 195 saksi terlibat dalam kes itu, namun senarai akhir akan ditentukan sebelum inkues bermula.
Dalam ucapan penggulungannya, Saifuddin berkata, siasatan pihak berkuasa turut melibatkan diari Zara Qairina yang dibacakan pakar psikiatri dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman.
Diari itu, kata Saifuddin, memberi maklumat kepada pihak berkuasa.
Menjawab isu dibangkitkan Takiyuddin, Saifuddin berkata, inkueas yang diadakan nanti adalah suatu proses terbuka dan bertujuan untuk mengetahui bagaimana Zara Qairina meninggal dunia.
“Semua itu akan diputuskan, biar proses itu berlaku,” katanya.