Malaysia Oversight

‘Takdir, ujian dan nikmat kita semua berbeza’

By Utusan in September 17, 2025 – Reading time 2 minute
‘Takdir, ujian dan nikmat kita semua berbeza’


PETALING JAYA: Penyanyi, Amira Othman menyifatkan hari bahagianya pada 14 September lalu merupakan tarikh yang bermakna dalam sejarah hidupnya.

Bergelar isteri kepada pelakon, Fattah Amin, Amira menganggap penyatuan itu merupakan rahsia Tuhan yang paling indah dalam hidupnya.

“Alhamdulillah. 14/9 adalah tarikh yang sangat bermakna buat saya. Telah Allah tulis tentang jodoh ajal dan semua urusan hidup kita. Pastinya kita semua punya takdir yang berbeza beza.

“Ujian dan nikmat juga berbeza beza. Betapa Allah Itu Maha Kaya. Tapi apa yang pasti. Tidak ada seorang manusia pun yang tahu akan nasib dan takdir kita, tapi kita harus yakin bahawa Allah itu Maha Mengetahui.

“Apa sahaja yang Dia tentukan, adalah yang terbaik. Dan akan jadi pada waktu yang paling baik,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.

Menerusi hantaran tersebut, penyanyi lagu Rasa dan Takdir itu turut berkongsi sebuah video yang memaparkan momen indah ketika majlis ijab kabul berlangsung pada Ahad lalu.

Dalam masa sama, Amira juga sempat menzahirkan ucapan terima kasih kepada mereka yang sering mendoakan kebahagiaannya bersama suami tercinta.

“Terima kasih atas doa yang baik-baik untuk kami. Moga Allah kabulkan doa itu buat kalian semua,” katanya lagi.

Ahad lalu, Fattah dan Amira sah bergelar suami isteri dengan sekali nafas dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung di Golden Palm Tree Resort, Sepang.

Acara akad nikah itu telah disempurnakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, dan disaksikan oleh keluarga dan kenalan rapat.

Untuk info, Fattah pernah berkahwin sebelum ini dan dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya.-UTUSAN





Source link