ULASAN | Setelah saya menulis artikel mengenai isu tragedi kematian yang melibatkan arwah adik Zara Qairina Mahathir sebanyak dua siri sebelum ini, saya tidak menyangka sama sekali ada beberapa pihak yang agak bersungguh meminta saya meneruskan penulisan tersebut dengan menyambung beberapa siri lagi.
Walaupun saya tidak mempunyai hasrat untuk menuruti hasrat mereka itu pada awalnya, namun saya rasakan mungkin elok juga untuk saya meneruskan penulisan tersebut. Moga penulisan saya ini ada manfaatnya kepada masyarakat .
Dan seperti sebelum ini saya hanya berminat untuk mengupas isu ini daripada perspektif perundangan dan keadilan sahaja.
Beberapa hari ini boleh dikatakan hampir semua media di negara ini melaporkan berita kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar S Muthuvelu yang, antara lain, mendedahkan bahawa semakan polis mendapati ibu arwah adik Zara Qairina ada menandatangani dokumen hospital ‘Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri’ yang turut disahkan oleh doktor patologi dan pegawai penyiasat terbabit pada peringkat awal.
Tidak pelik jika pendedahan itu mungkin dilihat oleh mereka yang terlibat dalam bidang kewartawanan ada mempunyai nilai berita tersendiri. Justeru hampir semua media kelihatan mengeksploitasi semaksimum mungkin pendedahan itu sebagai berita utama.

Kesannya, ada setengah pihak kelihatan seakan mula menyalahkan ibu arwah adik Zara Qairina sama ada secara langsung atau secara tersirat.
Sebenarnya jika kita membaca keseluruhan kenyataan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman tersebut, jelas ada kaveat dalam kenyataan itu sendiri.
Dia dilaporkan turut menyatakan meskipun terdapat permohonan keluarga untuk tidak menjalankan bedah siasat, undang-undang memberi kuasa kepada pegawai penyiasat untuk memohon prosedur itu sekiranya terdapat keraguan terhadap punca kematian.
Hanya mereka yang mungkin tidak mengikuti perjalanan dan perkembangan isu ini dari awal sahaja yang kelihatannya tidak sedar kewujudan beberapa keraguan atau tanda tanya terhadap punca kematian arwah adik Zara Qairina.
Oleh itu, bagi saya isu ibu arwah adik Zara Qairina ada menandatangani dokumen hospital ‘Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri’ sepatutnya tidak pernah timbul sejak dari awal.
Tidak jelas mengapakah isu itu ingin dibangkitkan semula dan ianya seolah-olah bagi mengalih isu kecuaian pihak-pihak tertentu.
Dalam siri pertama tulisan saya sebelum ini, saya antara lain menyatakan:
“Pada hemat saya jika pihak polis merasakan ada asas kuat untuk proses bedah siasat dilakukan, mereka sepatutnya tiada masalah untuk sama ada meyakinkan keluarga arwah untuk menurunkan tanda tangan persetujuan bedah siasat atau meyakinkan Jabatan Peguam Negara untuk mengambil tindakan undang- undang yang perlu, seperti mendapatkan perintah mahkamah agar bedah siasat boleh dilakukan.”
ULASAN | Kes kematian arwah Zara memang penuh misteri
ULASAN | Tanda tanya di sebalik kes arwah Zara Qairina
Saya juga ada menulis dalam bahasa inggeris seperti berikut, “If the death has suspicious elements a post mortem has to be conducted even if the family of the deceased say otherwise.The decision by the IO, as far as I know, trumps the decision of the family.”
Sekiranya benar pun ibu arwah adik Zara Qairina ada menandatangani dokumen hospital tersebut, saya sebenarnya langsung tidak pelik atau hairan dengan perkara itu.
Tanyalah mana-mana keluarga si mati, berapa ramai daripada mereka yang bersedia atau rela membenarkan ahli keluarga mereka yang meninggal dunia untuk dibedah siasat, apa lagi jika mayat ahli keluarga yang beragama Islam.

Orang Islam selalu diajar agar menghormati mayat, oleh itu amat munasabah jika ibu, bapa atau keluarga si mati enggan membenarkan mayat ahli keluarga mereka untuk dibedah siasat.
Dan sebagai mantan wakil rakyat, saya berani mengesahkan adalah benar jika ada mana-mana wakil rakyat yang menyatakan mereka ada didatangi ahli keluarga si mati yang memohon untuk membantu berunding dengan pihak tertentu agar mayat ahli keluarga mereka tidak dibedah siasat.
Justeru itu, sekiranya benar sekalipun ibu arwah adik Zara Qairina ada menandatangani dokumen hospital ‘Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri’, dokumen itu perlu dilihat dalam konteks yang saya nyatakan di atas.
Hanya kerana ibu arwah adik Zara Qairina ada menandatangani dokumen itu, ia tidak bermakna pihak polis sama sekali tidak boleh mengarahkan bedah siasat dilakukan ke atas jenazah arwah adik Zara Qairina.
Malahan fakta ini diakui sendiri melalui kenyataan M Kumar dan saya amat bersetuju dengan kenyataan tersebut. Itulah kedudukan undang-undang sedia ada yang saya tahu berdasarkan pengalaman saya sebagai peguam jenayah.
MOHAMED HANIPA MAIDIN adalah bekas timbalan menteri undang-undang.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmiMalaysiakini.